Subsidi BUDI95 kekal, rakyat lega

LocalPolitics
26 Mar 2026 • 7:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kerajaan mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter. Gambar hiasan

KERAJAAN Madani mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter melalui Budi Madani RON95 (BUDI95) walaupun harga bahan api lain meningkat susulan kenaikan mendadak harga minyak global.

Langkah itu dilihat sebagai usaha kerajaan untuk melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, terutamanya ketika konflik Asia Barat.

Menurut Kementerian Kewangan, penyesuaian harga RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel adalah selaras dengan Mekanisme Harga Automatik (APM).

Mekanisme tersebut memastikan harga runcit bahan api menyesuaikan diri secara berperingkat mengikut perubahan pasaran global.

Kerajaan menegaskan, melalui BUDI95, rakyat yang layak terus menikmati RON95 bersubsidi, manakala diesel bagi pengangkutan awam dan logistik darat kekal pada RM2.15 seliter, langkah itu melibatkan subsidi kerajaan melebihi RM3 bilion sebulan.

Selain itu, kadar BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi turut dinaikkan daripada RM200 kepada RM300 sebulan bagi Mac 2026, bagi memperkukuh perlindungan terhadap kenaikan kos bahan api, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sektor pertanian.

Bagi memastikan keberkesanan subsidi, kerajaan turut memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan, termasuk kawalan penjualan RON95 kepada kenderaan berdaftar asing serta had pembelian 20 liter tanpa permit khas bagi mengelakkan penyalahgunaan subsidi.

Kerajaan juga merancang memperkenalkan kawalan pembelian diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi menangani risiko ketirisan serta memastikan bekalan bahan api kekal stabil di kawasan strategik tersebut.

Dari perspektif ekonomi, langkah kerajaan mengekalkan subsidi dan menyesuaikan harga lain secara berperingkat menunjukkan usaha seimbang antara keperluan fiskal negara dan perlindungan rakyat, sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani.

Bagi pengguna, walaupun harga RON97 dan diesel meningkat, kehadiran BUDI95 dan bantuan tambahan melalui BUDI Individu serta BUDI Agri-Komoditi memastikan sebahagian besar rakyat terus menikmati manfaat harga bahan api terkawal, sekali gus meringankan beban kos sara hidup.

Usaha kerajaan itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat dalam suasana ekonomi yang penuh cabaran kini selain perubahan harga barang semasa susulan perang Iran-Isreal.