KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan terus memantau situasi semasa pergolakan di Asia Barat yang memberi kesan kepada peningkatan harga minyak di peringkat global yang dibimbangi memberi kesan terus kepada Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, walaupun Sabah terus mendapat subsidi namun perkembangan itu perlu diperhatikan memandangkan beberapa negara lain telah mula berdepan krisis tenaga susulan konflik berkenaan.
"Setakat ini diteruskan (subsidi diesel kepada Sabah). Kita pun memahami keadaan sekarang ini akibat peperangan di Timur Tengah. Jadi kerajaan negeri Sabah sentiasa memantau keadaan ini dan kita tengok macam mana nanti.
"Negara lain telah pun menghadapi krisis tenaga ini. Jadi kita di Malaysia, di negeri Sabah bernasib baik, belum lagi. Tapi kita harus berwaspada. Kalaulah peperangan ini berpanjangan, kemungkinan juga kita akan mengalami ataupun terjejas daripada kesan peperangan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Sebelum itu, beliau ditanya pemberita mengenai pemberian subsidi diesel kepada Sabah diteruskan oleh kerajaan Persekutuan walaupun dengan had.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai langkah intervensi yang mungkin diambil susulan perkembangan tersebut, Hajiji berkata, pihaknya akan terlebih dahulu mendapatkan taklimat lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Ya, kita nanti akan mendengar taklimat daripada pegawai-pegawai kita. Saya dimaklumkan oleh Perdana Menteri, beliau akan panggil. Jadi kita lihat bagaimana nanti," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri akan meneliti perkembangan lanjut termasuk hasil taklimat yang akan disampaikan oleh pegawai berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat.


