
SHAH ALAM, 17 SEPT: Kerajaan memperluas perlindungan subsidi bil elektrik daripada penggunaan 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan bagi membantu mengurangkan beban isi rumah susulan peningkatan penggunaan elektrik kebelakangan ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Facebook berkata penambahbaikan itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026.
“Melalui langkah ini, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan diberikan perlindungan melibatkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan,” katanya.
Menurut Anwar, keputusan itu dibuat sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan kos sara hidup rakyat ketika ini.
Beliau berkata keadaan jerebu dan cuaca lebih panas sejak kebelakangan ini menyebabkan penggunaan elektrik sebahagian isi rumah meningkat sehingga melepasi paras 600 kWj sebulan, sekali gus mendorong kenaikan bil.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga atas usaha membolehkan langkah itu dilaksanakan dengan segera.
Katanya, kerajaan akan terus memantau perkembangan kos bahan api dan pasaran tenaga bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira kemampuan rakyat, keterjaminan bekalan serta kemampanan sektor tenaga negara.





