
Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah sedang meneliti cadangan untuk meringankan beban peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di negeri ini, dengan lebih 100,000 individu dikenal pasti sebagai penerima manfaat berpotensi.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang berkata kajian terperinci sedang dijalankan bagi menentukan jumlah peruntukan diperlukan sebelum cadangan itu dibentangkan kepada Kabinet Negeri untuk kelulusan.
“Kita sedang melihat cara untuk membantu mereka yang masih mempunyai hutang PTPTN. Berdasarkan laporan awal, lebih 100,000 orang terlibat.
“Perkara ini akan diputuskan oleh Kabinet kemudian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Graduan Sabah 2025 di Dewan KDCA, di sini, pada Ahad.
Ditanya sama ada inisiatif itu boleh dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang, Hajiji berkata kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk melaksanakannya secepat mungkin kerana ia bukan gimik pilihan raya.
“Kita tengok dulu. Kalau boleh, lebih cepat lebih baik. Ini bukan gula-gula pilihan raya. Bila kita kata mahu tolong, kita maksudkannya. Tetapi kita mesti ikut prosedur kerajaan yang diperlukan (untuk pelaksanaannya),” tambahnya.
Hajiji turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menawarkan pendidikan percuma kepada pelajar yang mendaftar di institusi pengajian tinggi milik negeri di bawah Yayasan Sabah iaitu Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah.
Katanya, yuran pengajian dan bayaran lain untuk pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Sabah.
“Apa-apa pelajar kita yang masuk ke institusi pengajian tinggi milik negeri ini akan menerima bantuan tersebut. Kita tidak boleh pilih kasih,” katanya sambil menambah rancangan itu boleh diperkenalkan seawal tahun ini bagi pengambilan baharu.
Mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri, Hajiji memberi bayangan bahawa ia akan berlaku dalam masa terdekat dan tidak lama lagi pengumuman akan dibuat.
“Ya, sangat dekat (pembubaran). Bersabarlah dan tunggu. Jika keadaan cuaca baik dan jelas, kita akan bubarkan,” katanya.
Apabila diberitahu bahawa Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca buruk dan hujan lebat pada Oktober, Hajiji berkata: “Itu ramalan Jabatan Meteorologi. Kita yang tentukan (tarikh pembubaran).
“Dewan akan terbubar secara automatik pada November, jadi kita mesti adakannya sebelum itu,” katanya ketika ditanya sama ada pembubaran boleh berlaku seawal bulan depan.

