
BERSEMPENA Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Subway Malaysia telah berjaya melaksanakan inisiatif komuniti 'Rayakan Bersama' 2026 sebagai tanda penghargaan kepada wira barisan hadapan yang terus berbakti kepada masyarakat sepanjang musim perayaan.
Meneruskan usaha pada tahun lalu yang memfokuskan kepada penghargaan buat petugas barisan hadapan menerusi pengagihan makanan, kempen kali ini diperluaskan dengan aktiviti lapangan di Hospital Kuala Lumpur.
Sepanjang inisiatif tersebut, pasukan Subway turun padang untuk mengagihkan sendiri beg hidangan 'Rayakan Bersama' yang disediakan khas kepada para petugas kesihatan sebagai tanda terima kasih atas dedikasi dan pengorbanan mereka.
Setiap beg hidangan mengandungi satu sandwic enam inci Subway, biskut Subway bersaiz satu kaki serta minuman yang disusun rapi dan disertai nota peribadi, satu sentuhan kecil yang membawa mesej penghargaan dan pengiktirafan yang tulus ikhlas.

Selain pengagihan makanan, inisiatif tersebut turut mewujudkan detik-detik bermakna apabila kakitangan Subway berinteraksi secara langsung dengan para penerima, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan melalui sapaan mesra dan senyuman.
Sebagai platform tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berterusan dan bukan sekadar inisiatif tunggal, 'Rayakan Bersama' mencerminkan komitmen berterusan Subway Malaysia terhadap penglibatan komuniti dan impak sosial.
Susulan pelaksanaan aktiviti tersebut, Subway Malaysia akan terus memperluaskan capaian kempen dengan berkongsi sorotan dan kisah-kisah penghargaan terhadap wira seharian di platform digitalnya, bagi memastikan dedikasi mereka terus diiktiraf walaupun selepas musim perayaan berakhir.

Pengarah Pemasaran, Subway Malaysia, Evelyn Lee berkata, melalui kempen tersebut, pihaknya ingin meraikan individu-individu yang terus berkhidmat kepada komuniti ketika orang lain meraikan salah satu perayaan yang paling bermakna dalam
setahun.
"Melihat impak positif di lapangan mengukuhkan keyakinan kami bahawa walau sekecil mana tanda penghargaan, ia mampu mewujudkan hubungan yang berkekalan,” ujarnya.



