Sudah 3 Peserta Dalam Perjalanan Ke Himpunan RXZ Members 8.0 Maut

31 Jul 2026 • 3:46 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Sudah 3 Peserta Dalam Perjalanan Ke Himpunan RXZ Members 8.0 Maut

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Umum mengetahui bermula hari ini (31 Julai) sehingga esok (1 Ogos) sedang berlangsungnya Program RXZ Members Edisi Kelapan (RXZ Members 8.0) bertempat di Litar Permotoran, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.

Namun belum sampai 24 jam penganjurannya, sudah tiga kematian dilaporkan melibatkan peserta yang sedang ke acara perhimpunan motosikal terbesar negara itu di lokasi berasingan.

Penunggang Motosikal Maut, Dipercayai Gagal Mengawal Kenderaaan Di LPT

Dalam kejadian 6.30 pagi tadi, seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan ke program RXZ Members 8.0 maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 184.9 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah Kuantan.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai, pihaknya menerima laporan berhubung insiden terbabit daripada orang awam.

Jelas Wong, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran terus bergegas ke lokasi kejadian.

Hasil siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuala Terengganu untuk menghadiri acara tersebut.

“Setibanya di lokasi kejadian, penunggang dipercayai hilang kawalan sebelum motosikal ditungganginya terbabas dan mangsa terjatuh di lorong kanan lebuhraya. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal motosikal yang ditungganginya,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

Tambah Wong lagi, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Malah sehingga kini, belum ada saksi yang tampil membantu siasatan dan punca kejadian juga sedang disiasat.

Seorang Lagi Peserta Peserta RXZ Members 8.0 Maut Berhampiran Maran

Memetik Malaysia Gazette, Wong dalam kenyataan berasingan menjelaskan pihaknya menerima satu lagi laporan daripada orang awam mengenai kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal dan sebuah Mitsubishi Triton.

Dalam insiden yang berlaku di Kilometer 147.1 LPT arah Kuantan jam 10.10 pagi tadi, penunggang motosikal yang menunggang Yamaha Y125zr sedang dalam perjalanan dari Temerloh menuju ke Kuala Terengganu.

Jelas Wong, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didakwa melanggar bahagian belakang Mitsubishi Triton yang berada di lorong kecemasan yang sedang membantu ahli konvoi yang mengalami kerosakan motosikal.

Impak rempuhan tersebut, penunggang motosikal berkenaan terbabas dan jatuh ke atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Peserta RXZ Members 8.0 Maut Dalam Lokasi Berasingan Malam Tadi

Namun insiden pertama melibatkan peserta yang mahu ke RXZ Members 8.0 berlaku pada malam tadi (30 Julai) jam 11 malam.

Insiden melibatkan dua kenderaan berlaku di Kilometer 112.3 LPT arah Kuantan.

Mangsa, Muhammad Zulhairi Azhar Mohd Shahrizan yang berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, hasil siasatan awal mendapati, mangsa dalam perjalanan dari Klang ke Kuala Terengganu untuk menghadiri perhimpunan berkenaan bersama konvoi dengan lima lagi penunggang motosikal.

Jelas Mohd Nasyim, motosikal Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas sebelum jatuh di lorong kiri jalan dan mangsa pula tercampak di lorong kanan.

“Pada masa sama, sebuah Perodua Myvi yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa menyebabkan mangsa tercampak ke tepi jalan di lorong kiri.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian

Mangsa Tidak Memiliki Lesen, Kemalangan Dipercayai Punca Kecuaian Mangsa

Tambah Mohd Nasyim, hasil siasatan lanjut turut mendapati mangsa tidak mempunyai lesen motosikal sewaktu kejadian berlaku.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal ditungganginya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” ujarnya.

Sebelum ini, penganjur RXZ Members 8.0 memaklumkan slogan ‘Yang Kental Pasti Sampai’ ditukarkan kepada ‘Yang Santai Pasti Sampai’.

Penukaran slogan yang telah digunakan sejak sembilan tahun lalu adalah bertujuan untuk menyemai budaya berhemah dalam kalangan peserta.

Malah, mereka turut mensasarkan matlamat sifar kemalangan dalam penganjuran acara himpunan motosikal terbesar di Malaysia itu.

Baca Artikel Berkaitan: Penganjur RXZ Members Tukar Slogan Jadi ‘Yang Santai Pasti Sampai’, Ajak Peserta Tunggang Motosikal Secara Berhemah

Baca Artikel Berkaitan: RXZ Members 8.0: Tiada Roadblock, Polis Guna Kaedah Risikan & Rakaman Video Sebagai Bukti Sebelum Ambil Tindakan

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved