Sudah dijangka! Loke tak terkejut strategi BN-PN, yakin kekuatan sendiri di PRN N. Sembilan

LocalPolitics
16 Jul 2026 • 6:40 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Pakatan Harapan (PH) tidak terkejut dengan sebarang strategi politik yang bakal digunakan pihak lawan termasuk kemungkinan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Segala percaturan sudah dijangka

Memetik laporan daripada Bernama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, segala percaturan tersebut sudah dijangka lebih awal dan tidak akan mengganggu fokus PH untuk memperkukuh jentera serta kesepakatan dalam kalangan parti komponen.

Image from: Sudah dijangka! Loke tak terkejut strategi BN-PN, yakin kekuatan sendiri di PRN N. Sembilan

Keutamaan PH adalah pastikan menang kerusi

Menurut beliau, keutamaan PH ketika ini adalah memastikan semua parti dalam gabungan itu bergerak seiring bagi mempertahankan dan memenangi kerusi yang ditandingi.

Katanya, apa jua strategi pihak lawan akhirnya akan ditentukan oleh rakyat menerusi undi pada hari pengundian.

“Ini (strategi PN dan BN) sudah pun dijangka dan jelas… itu adalah pilihan mereka. Jadi, PH akan fokus kepada kekuatan kita sendiri untuk memenangi kerusi yang ditandingi.
“Apa yang penting ialah kekuatan dan kesepakatan dalam kalangan komponen PH sendiri untuk menghadapi pilihan raya. Apa sahaja cabaran dan persaingan, saya rasa akhirnya ia adalah pilihan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI dan Santuni MADANI Kementerian Pengangkutan Tahun 2026 di Kampung Mantin Dalam, Negeri Sembilan, hari ini.

Akan beri saingan sengit

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kerjasama antara BN dan PAS berhubung strategi pengagihan kerusi serta rundingan kawasan menjelang PRN Negeri Sembilan.

Mengulas dakwaan berhubung kemungkinan peralihan sokongan pengundi Cina kepada parti lawan termasuk MCA, Anthony berkata semua pihak bebas membuat dakwaan sepanjang tempoh berkempen, namun keputusan sebenar hanya akan ditentukan pada hari pengundian.

“Kita (PH) juga akan memberikan saingan yang sengit. Saya rasa tidak perlu mengulas terlalu banyak kerana sebelum pilihan raya semua pihak boleh mendakwa mereka mendapat sokongan. Yang penting ialah keputusan pada hari pengundian nanti,” katanya.

Image from: Sudah dijangka! Loke tak terkejut strategi BN-PN, yakin kekuatan sendiri di PRN N. Sembilan

Anthony yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah berkata, prestasi pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 2018 menjadi antara faktor utama yang diyakini mampu mengekalkan sokongan rakyat terhadap PH.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan keputusan DAP Melaka untuk menarik diri daripada pentadbiran negeri susulan isu pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan adalah muktamad.

“Kita telah pun menyatakan pendirian semalam dan menghormati keputusan yang diambil oleh DAP Melaka.

“Kerajaan negeri juga telah membuat pelarasan semula kedudukan kerusi di dalam DUN, jadi perkara itu sudah menjadi kenyataan dan muktamad,” katanya.

Mengulas Program Kampung Angkat MADANI pula, Anthony menolak dakwaan bahawa pelaksanaan program tersebut bermotifkan pilihan raya.

Sebaliknya, beliau menjelaskan inisiatif itu telah dilaksanakan secara berterusan oleh setiap kementerian sejak tahun 2025 bagi meningkatkan kemudahan asas dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Sumber: Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved