Sudah Sah! Mohd Azlan, Nor Hidayah Akhirnya Selamat Diijab Kabul

28 May 2024 • 9:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mohd Azlan Ishak dan Nor Hidayu Halim selamat bernikah petang tadi. - Gambar Facebook

KUALA LUMPUR - Selepas sekian lama dirundung kontroversi, pasangan viral Mohd Azlan Ishak, 36, dan Nor Hidayu Halim, 34, selamat dinikahkan.

Memetik laporan Sinar Online, mereka dinikahkan Imam Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer Mualim selepas waktu Asar, hari ini.

Pernikahan tersebut berlangsung di Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Kuala Kedah.

Kedua-dua mereka mengenakan pakaian serba putih.

Getaran petang tadi melaporkan, Mohd Azlan menafikan mereka berdua sudah melarikan diri seperti didakwa, sebaliknya dia ‘hilang’ kerana sibuk menguruskan hal pernikahan.

Katanya, dia dan Nor Hidayah memilih untuk tidak menghebahkan perkara itu kepada umum terlebih dahulu, sehingga majlis selesai dilangsungkan.

"Saya tidak lari ke mana pun, ada saja di sini. Ada masalah jadi saya pergi selesaikan dahulu. Tak akan setiap kali selesai (masalah) nak buat video tunjuk kepada semua?" katanya seperti dilaporkan akhbar Harian Metro.

Menerusi laporan berkenaan, Azlan turut memetik masalah kewangan sebagai punca dia dan Nor Hidayah masih belum bernikah.

Katanya sebagai bapa, dia memilih untuk mendahulukan keperluan anaknya yang berpenyakit kronik, Mohd Aariz Zafran, 11 bulan

"Sebelum ini saya tak berkemampuan kerana dahulukan belanja anak tapi kini ada kesempatan jadi dapatlah saya uruskan hal perkahwinan,” katanya.

Kisah Mohd Azlan dan Nor Hidayah menjadi isu hangat selepas mereka sebenarnya didapati masih belum bernikah secara sah.

Perkara itu didedahkan Muhammad Hazamer sendiri selepas jawatankuasa qariah masjid itu berdepan kecaman kerana didakwa tidak pernah membantu pasangan tersebut. - Getaran, 28 Mei 2024