SugarBun, Sedaplycious bekerjasama tambah restoran makanan segera dari Sarawak ke Semenanjung

15/10/2025 - 15:17
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 15 Okt – Jenama restoran makanan segera dari Sarawak, SugarBun Corporation Berhad menjalin kerjasama dengan Sedaplycious Sdn Bhd untuk membuka lebih banyak cawangannya di Semenanjung Malaysia.
SugarBun adalah anak syarikat Borneo Oil Berhad yang ditubuhkan lebih 40 tahun lalu dan kini mempunyai 104 cawangan restoran di Sabah, Sarawak dan Brunei.
Pengarah Urusan Borneo Oil, Datuk Joseph Ambrose Lee berkata, kerjasama ini akan memperkukuh operasi perniagaan SugarBun di luar Sabah dan Sarawak selain mewujudkan lebih banyak cawangan di seluruh negara secara berperingkat.
“Pencapaian ini akan membuka banyak peluang pekerjaan, memperkasakan pembekal tempatan dan memberi peluang francais kepada usahawan,” katanya di majlis menandatangani perjanjian itu hari ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick merasmikan majlis tersebut yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M Taib.
SugarBun akan menampilkan menu hidangan kegemaran ramai, Broasted Chicken, Savoury Rice dan pelbagai menu lain di cawangannya di Semenanjung Malaysia.
Model perniagaan SugarBun Express juga akan memudahkan pemilik perniagaan menyertai francais, termasuk di bandar kecil dan kawasan luar bandar sebagai pilihan kepada penduduk setempat.
Sementara itu, Ewon menyifatkan SugarBun sebagai satu kisah kejayaan perniagaan dari Malaysia Timur yang membanggakan dan wajar dicontohi oleh usahawan yang lain.
Beliau berkata, kementerian sentiasa menyokong jenama francais dari Sabah dan Sarawak untuk terus berkembang ke Semenanjung Malaysia serta sebaliknya. - DagangNews.com
standard

