Sapura Industrial bekerjasama dengan syarikat Singapura buka kilang komponen bateri litium

15/10/2025 - 09:42
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 15 Okt – Sapura Industrial Bhd menjalin kerjasama dengan syarikat berpangkalan di Singapura, Funa Micro Technology Pte Ltd untuk membuka sebuah kilang pembuatan komponen logam khusus untuk bateri litium di Malaysia.
Anak syarikat Sapura Industrial, SIB Ventures Sdn Bhd akan memiliki 51% pegangan dalam syarikat usaha sama baharu, SIB ZZT Sdn Bhd, manakala Funa Micro Technology akan memegang baki 49%.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sapura berkata, jalinan kerjasama itu akan menghasilkan bekas sel prismatik dan memasang penutup sel untuk sistem penyimpanan tenaga serta komponen berkaitan.
Sel prismatik ialah sejenis bateri litium-ion yang digunakan secara meluas dalam kenderaan elektrik, peralatan elektronik industri berskala besar dan sistem penyimpanan tenaga yang lain.
Sapura Industrial berkata, kerjasama itu adalah langkah strategik untuk mempelbagaikan perniagaan ke dalam ekosistem penyimpanan tenaga dan bateri, sekali gus meletakkan kumpulan dalam kedudukan lebih kukuh untuk merebut peluang pasaran baharu di Malaysia dan rantau ini.
“Usaha sama ini dijangka tidak memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih, nisbah hutang atau struktur pegangan saham bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026.
“SIB Ventures akan membiayai pelaburan itu melalui dana dalaman yang dijana sendiri serta pinjaman bank,” kata Sapura Industrial.
Lembaga pengarah SIB ZZT akan terdiri daripada lima pengarah, iaitu tiga dilantik oleh SIB Ventures dan dua oleh Funa Micro Technology. - DagangNews.com
standard
