UNHCR suarakan kebimbangan susulan penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar

1 Oct 2026 • 10:01 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

UNHCR suarakan kebimbangan penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar dari Malaysia

Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menyuarakan kebimbangan susulan penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar dari Malaysia ketika negara itu masih berdepan konflik serta situasi kemanusiaan dan hak asasi manusia yang membimbangkan.

Penolong Pesuruhjaya Tinggi UNHCR bagi Perlindungan, Edem Wosornu berkata, individu yang dihantar pulang mungkin berdepan risiko serius, selain terdapat kemungkinan sebahagian daripada mereka memerlukan perlindungan antarabangsa.

Menurutnya, walaupun pihak berkuasa Malaysia menyatakan penghantaran itu dilakukan secara sukarela, individu terbabit sebelum ini ditempatkan di depot tahanan imigresen.

Keadaan itu, katanya, menimbulkan persoalan sama ada keputusan untuk kembali ke Myanmar dibuat secara bebas dan berdasarkan maklumat yang mencukupi.

UNHCR turut memaklumkan agensi berkenaan tidak mempunyai akses kepada individu terbabit bagi melakukan penilaian terhadap keadaan dan keperluan perlindungan mereka sebelum proses penghantaran pulang dilaksanakan.

Agensi PBB itu menegaskan prinsip undang-undang antarabangsa melarang seseorang dihantar pulang ke tempat mereka mungkin berdepan penganiayaan, penyeksaan, bahaya serius atau ancaman terhadap nyawa dan keselamatan.

Terdahulu, Malaysia melaksanakan fasa pertama program penghantaran pulang pada 29 September melibatkan 1,476 warga Myanmar yang ditahan di 14 depot imigresen di seluruh negara.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), kumpulan itu terdiri daripada 1,370 lelaki, 79 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara lapan hingga 60 tahun.

KDN memaklumkan program itu dilaksanakan secara sukarela, selamat dan bertanggungjawab berdasarkan prosedur yang dipersetujui bersama kerajaan Myanmar. Individu terbabit dihantar pulang menggunakan tiga kapal milik Tentera Laut Myanmar termasuk sebuah kapal hospital.

Sementara itu, kerajaan memaklumkan 3,524 lagi warga Myanmar telah dipersetujui untuk dihantar pulang menerusi fasa kedua program berkenaan, dengan tarikh pelaksanaannya masih menunggu makluman daripada pihak Myanmar.

Sumber: UNHCR, Bernama

The post UNHCR suarakan kebimbangan susulan penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved