
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada 29 September lalu, Malaysia telah mula menghantar pulang kira-kira 1,500 pelarian Myanmar dalam program penghantaran pulang.
Jumlah tersebut merupakan kumpulan pertama daripada 5,000 warga Myanmar yang menurut Kerajaan Malaysia bersetuju untuk pulang secara sukarela dari pusat tahanan.
UNHCR Bimbang Malaysia Hantar Pelarian Kembali Ke Myanmar, Persoal Sama Ada Keputusan Benar-Benar Dibuat Secara Sukarela
Semalam (30 September), Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) menyuarakan kebimbangan mereka dengan langkah Malaysia menghantar pulang lebih 1,000 pelarian warga Myanmar dari Malaysia.
Ia susulan keadaan negara tersebut yang masih berdepan dengan konflik serta situasi kemanusiaan yang kekal meruncing.
Menurut Penolong Pesuruhjaya Tinggi UNHCR Bagi Perlindungan, Edem Wosornu, pihaknya bimbang dengan proses penghantaran pulang berkenaan yang mungkin menyebabkan pelarian berdepan dengan risiko serius dengan ada sebahagian mereka yang memerlukan perlindungan antarabangsa.
“Walaupun pihak berkuasa menyatakan bahawa penghantaran pulang tersebut dilakukan secara sukarela, mereka yang dihantar pulang itu ditahan di Pusat Tahanan Imigresen.
“Ini menimbulkan persoalan serius sama ada keputusan untuk pulang dibuat secara bebas dan dimaklumkan.
“UNHCR tidak mempunyai akses untuk menilai (keputusan) individu terlibat,” katanya.
UNHCR Iktiraf Tanggungjawab Malaysia Urus Suaka & Migrasi
Jelas UNHCR, pihaknya mengiktiraf tanggungjawab Malaysia sebagai negara yang mengurus suaka dan migrasi.
Walau bagaimanapun, UNHCR menggesa Malaysia untuk memastikan pemulangan tersebut mendapat perlindungan yang teguh termasuk penilaian individual serta akses kepada prosedur perlindungan.
Tambah UNHCR dalam kenyataan terbabit, keputusan untuk pulang perlu secara sukarela dan dinilai di luar ketetapan tahanan.
“Di bawah prinsip non-refoulement (kewajipan untuk tidak menghantar pulang sesiapa sahaja ke negara di mana mereka berdepan dengan penganiayaan), tiada siapa patut dipulangkan kepada negara di mana mereka mungkin berdepan dengan penganiayaan, penyeksaan dan ugutan serius lain terhadap nyawa dan kebebasan.
“Sehingga keadaan di Myanmar selamat dan sesuai pulang, negara-negara yang melindungi (pelarian) perlu terus menyediakan perlindungan suaka serta perlindungan antarabangsa,” kata mereka.
Malah, UNHCR kekal bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi mengukuhkan suaka dan pengurusan perlindungan.
SUHAKAM Seru Kerajaan Henti Usaha Hantar Pulang Pelarian Myanmar
Selain PBB, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) turut menyeru kerajaan untuk menghentikan sebarang usaha penghantaran pulang pelarian Myanmar.
Ini kerana jelas mereka dalam satu kenyataan, perang saudara di Myanmar masih berterusan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut melaporkan keganasan masih berterusan dengan keadaan hak asasi manusia semakin memburuk.
Jelas SUHAKAM, sudah menjadi kelaziman dalam undang-undang antarabangsa bahawa pelarian tidak sepatutnya dihantar pulang ke negara asal sekiranya mereka berhadapan dengan risiko nyata penganiayaan, penyiksaan atau bahaya serius lain.
“Prinsip itu mengikat semua negara tanpa mengira sama ada mereka merupakan pihak kepada Konvensyen Pelarian atau tidak. Ini bermakna Malaysia, walaupun bukan pihak dalam Konvensyen Pelarian, terikat mematuhi prinsip tersebut.
“Justeru, Malaysia dilarang oleh undang-undang antarabangsa daripada menghantar pulang mana-mana pelarian atau pencari suaka ke Myanmar sekiranya terdapat risiko munasabah nyawa atau kebebasan mereka akan terancam disebabkan ras, agama, kewarganegaraan, keahlian dalam kumpulan sosial tertentu atau pegangan politik.
“Sebarang pelanggaran terhadap prinsip teras berkenaan merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa,” katanya.
Penghantaran ‘Sukarela’ Mestilah Benar-Benar Dilakukan Secara Sukarela – SUHAKAM
SUHAKAM turut menegaskan penghantaran pulang secara ‘sukarela’ yang dimaksudkan mestilah benar-benar dilakukan secara sukarela.
Menurutnya lagi, individu terlibat seharusnya dapat membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi tanpa sebarang tekanan atau paksaan serta tahu keadaan yang mungkin dihadapi apabila pulang.
Jelas SUHAKAM lagi, keputusan sukarela yang dibuat itu juga perlu dinilai oleh pihak berkuasa seperti agensi pelarian PBB, UNHCR dan bukanlah imigresen.
“Suhakam menyeru kerajaan memastikan tiada lagi penghantaran pulang ke Myanmar dilakukan tanpa penilaian sewajarnya oleh pihak berkuasa bebas berhubung keperluan perlindungan serta risiko yang mungkin dihadapi setiap individu apabila kembali ke sana.
“Pihak berkepentingan dalam perlindungan antarabangsa yang berkaitan juga perlu diberikan akses bersesuaian bagi membantu mengenal pasti mereka yang memerlukan perlindungan,” katanya.
Sebelum ini, Malaysia telah memulakan fasa pertama program penghantaran pulang 1,476 pelarian Myanmar menaiki tiga kapal perang tentera laut negara terbabit.
Jelas Kementerian Dalam Negeri, jumlah tersebut adalah termasuk 27 kanak-kanak iaitu 20 orang kanak-kanak lelaki serta tujuh orang kanak-kanak perempuan.
Malaysia dijangka akan menghantar pulang baki 3,524 lagi warga Myanmar di fasa kedua program berkenaan sebaik mendapat tarikh yang akan disahkan oleh negara berkenaan.
Baca Artikel Berkaitan: “Tutup Pejabat UNHCR Di Negara Ini Jika Enggan Bekerjasama Urusan Pelarian” – Tok Mat
Baca Artikel Berkaitan: Ini Sejarah & Info Ringkas Tentang Etnik Rohingya





