
SUHAKAM Gesa Pilihan Raya Lebih Mesra OKU
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa semua pihak berkepentingan memastikan proses pilihan raya di negara ini lebih inklusif supaya golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dapat melaksanakan hak politik mereka tanpa sebarang halangan.
Katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini, hak untuk mengundi dan dipilih sebagai wakil rakyat merupakan hak asasi setiap warganegara yang perlu dijamin tanpa sebarang bentuk diskriminasi.
Menurut SUHAKAM, berdasarkan statistik Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikongsikan kepada suruhanjaya itu pada 2 Mei lalu, seramai 28,976 OKU berdaftar di Negeri Sembilan layak mengundi.
Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk individu yang mengalami ketidakupayaan sementara akibat kemalangan atau penyakit.
“Data ini menunjukkan kepentingan untuk memastikan sistem pilihan raya benar-benar inklusif dan mampu menjamin penyertaan penuh, berkesan serta bermakna bagi semua pengundi tanpa mengira jenis ketidakupayaan,” katanya.
Menurut SUHAKAM, hak penyertaan politik turut dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) serta Artikel 29 Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD).
Baca juga:Namun begitu, ujarnya, hasil kajian yang dijalankan mendapati masih terdapat pelbagai halangan berstruktur yang menjejaskan penyertaan golongan OKU sebelum, semasa dan selepas proses pilihan raya.
Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parti politik, calon pilihan raya serta agensi berkaitan mengambil langkah proaktif bagi menjamin akses yang lebih menyeluruh kepada golongan berkenaan.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk memastikan semua pusat mengundi memenuhi prinsip reka bentuk sejagat (universal design) dengan penyediaan kemudahan seperti tanjakan (ramp), laluan khas, tempat letak kenderaan OKU, tandas mesra OKU dan saluran mengundi yang mudah diakses.
Selain itu, SUHAKAM turut mengesyorkan penyediaan bantuan mobiliti serta pengangkutan kepada pengundi OKU yang memerlukan.
Dalam aspek penyampaian maklumat pula, menurut suruhanjaya itu, manifesto, bahan kempen dan maklumat pilihan raya perlu disediakan dalam pelbagai format yang mudah diakses termasuk tulisan Braille, cetakan besar, format digital mesra pembaca skrin serta disertakan sari kata, kapsyen dan Jurubahasa Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).
SUHAKAM turut menggesa supaya petugas pilihan raya diberikan latihan berkaitan hak OKU, komunikasi inklusif dan penyediaan bantuan munasabah bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
Di samping itu, parti-parti politik juga digalakkan membuka lebih banyak ruang kepada golongan OKU untuk bertanding sebagai calon pilihan raya, selain menilai semula halangan undang-undang, kewangan dan sosial yang mengehadkan penyertaan mereka.
“Demokrasi yang inklusif bukan sekadar memastikan semua rakyat boleh membuang undi, tetapi juga memastikan setiap warganegara mempunyai akses yang sama kepada maklumat, kempen politik, proses pengundian dan peluang untuk dipilih sebagai wakil rakyat,” katanya.
Menurut SUHAKAM, Malaysia tidak akan dapat mencapai sistem demokrasi yang benar-benar adil sekiranya masih terdapat individu yang dinafikan hak politik hanya disebabkan faktor ketidakupayaan.
Bersempena Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Negeri Sembilan yang bakal berlangsung, SUHAKAM menggalakkan golongan OKU, ahli keluarga, penjaga, organisasi berkaitan, pemerhati pilihan raya serta orang awam supaya segera melaporkan sebarang halangan yang dihadapi sepanjang proses pilihan raya menerusi emel PWDcommittee@suhakam.org.my.
Dalam pada itu, SUHAKAM menegaskan pihaknya kekal komited bekerjasama dengan SPR, agensi kerajaan, parti politik, organisasi mewakili OKU serta masyarakat sivil bagi memperkukuh sistem pilihan raya yang lebih inklusif, mudah diakses dan menghormati hak setiap warganegara selaras dengan prinsip "Tiada Siapa Yang Tertinggal" (Leave No One Behind).






