Skim Rumah Harapan Rakyat diteruskan jika PH menang

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 3:25 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Skim Rumah Harapan Rakyat diteruskan jika PH menang

PORT DICKSON: Skim Rumah Harapan Rakyat (RHR) tanpa faedah bagi membantu lebih ramai rakyat Negeri Sembilan memiliki kediaman sendiri diteruskan sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, skim itu membolehkan rumah dibina di atas tanah milik sendiri atau tanah milik keluarga dengan kebenaran pemilik sekali gus memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman pada kos lebih mampu milik.

Katanya, RHR ditawarkan pada harga sekitar RM85,000 bergantung kepada kos semasa, selain pembeli tidak dikenakan sebarang faedah sehingga bayaran diselesaikan sepenuhnya.

“Selain kerjasama dengan pihak swasta membina rumah mampu milik, kerajaan negeri turut menyediakan Rumah Harapan yang boleh dibina di tanah sendiri atau tanah milik keluarga dengan kebenaran.

“Yang penting, rumah ini disediakan tanpa sebarang faedah sehingga mereka habis membuat bayaran,” katanya selepas program ramah mesra bersama penduduk Kampung Segenting, hari ini.

Aminuddin yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, skim berkenaan merupakan antara inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan rakyat di bandar dan luar bandar mempunyai peluang memiliki kediaman sendiri.

Katanya, inisiatif itu juga mampu menghidupkan semula kawasan kampung dengan menggalakkan lebih ramai penduduk khususnya golongan muda kembali menetap di kampung halaman.

“Kita mahu hidupkan suasana kampung dengan lebih ceria lagi, dengan lebih ramai yang balik tinggal di kampung.

“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pembangunan bandar, malah membangunkan kampung supaya tidak ditinggalkan masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, penyediaan RHR melengkapkan pelbagai inisiatif perumahan lain yang ditawarkan PH termasuk Rumah Mampu Milik (RMM) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) hasil kerjasama kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan serta pemaju swasta.

Mengulas sasaran pembinaan 20,000 rumah mampu milik yang terkandung dalam manifesto PH, Aminuddin berkata, jumlah itu merangkumi semua kategori perumahan termasuk RMM, RHR, PPR serta projek di bawah agensi perumahan Persekutuan.

“Kerajaan negeri turut memperoleh kelulusan pembinaan PPR di beberapa lokasi termasuk di Nilai yang melibatkan projek rumah bertingkat, selain kediaman bertanah di Linggi dan Johol,” katanya. – UTUSAN

The post Skim Rumah Harapan Rakyat diteruskan jika PH menang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved