Suhakam ingatkan jangan dedah identiti remaja kes buli Zara Qairina

LocalPolitics
19 Aug 2025 • 1:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suhakam mengingatkan orang awam serta media agar tidak mendedahkan identiti lima remaja yang akan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, esok, berhubung kes buli pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir. Gambar hiasan.

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengingatkan orang awam serta media agar tidak mendedahkan identiti lima remaja yang akan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, esok, berhubung kes buli pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Dalam kenyataannya, Suhakam menegaskan pendedahan maklumat seperti nama, gambar, sekolah atau sebarang butiran yang boleh membawa kepada pengecaman suspek adalah dilarang di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Sekiranya ingkar, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Suhakam turut menekankan Mahkamah Kanak-kanak adalah prosiding tertutup dan hanya pihak berkepentingan dibenarkan hadir.

"Mereka berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), termasuk sokongan berasaskan trauma, wakil guaman, serta layanan yang adil.

"Identiti mereka tidak boleh didedahkan secara langsung atau tidak langsung. Nama, gambar, sekolah, atau sebarang butiran yang boleh membawa kepada pengecaman mereka tidak boleh didedahkan kepada umum," kata kenyataan itu.

Kata Suhakam, keutamaan kini adalah untuk mengelakkan stigma terhadap kanak-kanak terbabit, selain memastikan proses keadilan berjalan secara tertib berpaksikan hak kanak-kanak serta kedaulatan undang-undang.

Suruhanjaya itu juga menyeru platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok supaya lebih proaktif mengesan serta memadam kandungan yang mendedahkan identiti suspek, tanpa menunggu aduan rasmi.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan beberapa suspek akan dituduh di mahkamah selepas meneliti kertas siasatan yang dirujuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, AGC menegaskan prosiding tersebut tidak menjejaskan siasatan berhubung punca kematian Zara Qairina, termasuk inkues yang akan dijalankan kelak.

 

 

Lagi artikel berkaitan: