Sukan Asia: Emas Adeola bakar semangat atlet negara

23 Sep 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Asia: Emas Adeola bakar semangat atlet negara

ATLET karate wanita negara, Adeola Fay Robert mencipta kejutan apabila berjaya menghadiahkan pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.

Lebih manis, kejayaan bersejarah itu dilakar menerusi penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia selepas menundukkan pencabar di ranking ke-14 dunia dari Iran, Fatemehzahra Saeidabadi 6-4 dalam aksi final kumite wanita bawah 55 kilogram (kg) di Gimnasium Toyohashi, Aichi.

Adeola tampil dengan aksi cukup baik dalam pertarungan berintensiti tinggi itu apabila melancarkan serangan bertali arus ke atas Fatemehzahra bagi memastikan kemenangan menjadi milik Malaysia.

Kemenangan penuh bermakna itu sekali gus menamatkan penantian kontinjen Malaysia
untuk menjelmakan pingat emas pertama di Jepun.

Terdahulu, laluan Adeola ke final turut diuji dengan pertempuran sengit apabila terpaksa bermandi peluh menewaskan jaguh Kazakhstan, Bella Samasheva menerusi keputusan tipis 5-4 pada aksi separuh akhir.

Kejayaan itu disambut penuh kesyukuran oleh Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Sumali Reduan yang menyifatkannya sebagai tonik terbaik buat kem negara di bumi Jepun.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur sukan karate menerusi Adeola telah memberikan pingat emas pertama untuk Malaysia pada edisi kali ini.

“Ketika kita di venue wushu meraikan kejayaan pingat gangsa, kita menerima perkhabaran gembira ini. Walaupun ia sedikit di luar jangkaan awal kontinjen, pihak pengurusan karate sememangnya yakin mereka memiliki peluang untuk menuai emas,” katanya.

Mengulas lanjut, Sumali percaya kejayaan Adeola hadir tepat pada masanya bagi menyuntik motivasi membara kepada atlet-atlet lain yang masih berjuang dalam acara masing-masing.

“Ini adalah satu petanda yang sangat baik. Saya percaya kejayaan ini akan memberi suntikan semangat kepada atlet negara yang lain untuk turut memburu emas atau pingat seterusnya, insya-Allah,” ujarnya.

Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) sebelum ini mendedahkan pihaknya akan memberi ganjaran setimpal dengan menghadiahka sebuah kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS, bagi mana-mana atlet yang berjaya mendakap emas di Aichi-Nagoya.

 

The post Sukan Asia: Emas Adeola bakar semangat atlet negara appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved