
PETALING JAYA – Kontinjen Malaysia bukan sahaja berjaya mencapai sasaran enam pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, malah kini berpeluang melepasi sasaran tersebut ketika beberapa acara masih berbaki.
Emas keenam negara disumbangkan jaguh skuasy wanita, S. Sivasangari yang mempertahankan kejuaraan perseorangan selepas menewaskan wakil India, Anahat Singh 11-4, 11-4, 11-7, manakala Ng Eain Yow terlebih dahulu menghadiahkan emas kelima menerusi perseorangan lelaki.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari menyifatkan kejayaan mencapai sasaran itu sebagai hasil kerja keras dan pengorbanan seluruh kontinjen, namun percaya enam emas bukan noktah buat Malaysia di Aichi-Nagoya.
“Alhamdulillah, enam pingat emas! Sasaran ini, sasaran yang kita tetapkan bersama. Hari ini, dengan izin Allah dan hasil kerja keras semua, sasaran itu berjaya kita capai.
“Pingat-pingat ini saya percaya hadir dengan doa, pengorbanan, air mata, keringat dan usaha yang tidak mungkin terbalas oleh kita semua. Saya amat yakin, enam pingat emas ini hanyalah permulaan. Insya-Allah, wira dan wirawati kita akan berikan lebih,” katanya.
Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Mohd Sumali Reduan turut menyambut kejayaan tersebut dengan penuh kesyukuran selepas sasaran enam emas yang ditetapkan buat kontinjen negara akhirnya berjaya direalisasikan.
“Pingat emas keenam daripada skuasy, tahniah Sivasangari. Alhamdulillah, Kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran enam pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026,” katanya.
Bagaimanapun, pemburuan pingat emas Malaysia masih belum berakhir apabila skuad skuasy wanita berpeluang menambah koleksi negara menerusi acara berpasukan, sekali gus meneruskan misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Hangzhou. KOSMO! ONLINE
The post Sukan Asia: Enam emas bukan noktah Malaysia appeared first on Kosmo Online.






