
BINTANG skuasy negara, S. Sivasangari turun ke temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan misi serampang dua mata iaitu mempertahankan pingat emas perseorangan wanita, sekali gus menyambar tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Pemain nombor lima dunia itu menyifatkan kedua-dua sasaran berkenaan amat bermakna buat dirinya, ketika skuasy bakal membuat penampilan sulung di pentas berprestij Olimpik pada edisi LA28 dengan juara perseorangan lelaki dan wanita Sukan Asia kali ini akan terus layak.
Sivasangari berkata, peluang beraksi di temasya terbesar dunia itu menyuntik motivasi berganda untuk mengulangi pencapaian cemerlangnya sebelum ini, biarpun sedar cabaran yang menanti pastinya lebih sengit.
“Saya rasa kedua-duanya penting. Mewakili Malaysia sentiasa menjadi perkara yang besar buat saya. Selama dua edisi sebelum ini saya bermain di Sukan Asia tanpa ada tiket ke Olimpik, tetapi ia tetap sangat penting buat saya. Tahun ini ada motivasi tambahan untuk mendapatkan tiket ke Olimpik.
“Ia juga membawa sedikit tekanan kerana semua orang mahu menang pingat dan mendapatkan tempat ke Olimpik. Namun, saya perlu fokus kepada persiapan, bermain satu perlawanan demi satu perlawanan dan melakukan apa yang perlu,” kata Sivasangari.
Sivasangari hadir ke Aichi-Nagoya sebagai juara bertahan selepas muncul juara perseorangan wanita pada Sukan Asia Hangzhou 2022, selain membantu Malaysia meraih emas acara berpasukan wanita.
Pemain berusia 27 tahun itu berkata persiapan rapi sepanjang tempoh latihan musim panas serta dua kejohanan PSA di London dan Qatar awal bulan ini memberinya keyakinan tambahan menjelang cabaran di Aichi-Nagoya.
Sivasangari yang mendapat ‘bye’ di pusingan pertama dijadual memulakan kempen pusingan kedua menentang pemenang antara pemain China, Liu Ziyi atau wakil Sri Lanka, Veera Samiyel Chanithma Sinaly, Khamis ini.
The post Sukan Asia: Misi ‘serampang dua mata’ Sivasangari appeared first on Kosmo Online.




