Ujian getir menanti Aaron-Kai Wun, Sze Fei Izzuddin

24 Sep 2026 • 5:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ujian getir menanti Aaron-Kai Wun, Sze Fei Izzuddin

PETALING JAYA: Laluan sukar menanti beregu lelaki negara, Aaron Chia-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dalam usaha mereka untuk memburu pingat dalam acara individu pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun yang bermula, esok.

Pasangan pecah ganding, Aaron-Kai Wun akan berdepan laluan mudah pada peringkat 32 terbaik apabila dijadual menentang Odilzhon Abdurakhimov-Dhzumaboi Saidov dari Taijikistan.

Namun begitu, beregu tersebut bakal mengharungi ujian getir menentang pasangan No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan di peringkat 16 terbaik.

Laluan sukar itu juga terpaksa dilalui oleh beregu No. 6 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang perlu berdepan pasangan ke-16 dunia, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan seawal peringkat 32 terbaik.

Sekiranya mereka berjaya melepasi halangan tersebut, satu lagi gandingan handalan dunia iaitu wakil tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang merupakan beregu No. 9 dunia menanti Sze Fei-Izzuddin di pusingan kedua.

Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, pasangan No. 5 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah turut mendapat laluan sukar apabila mereka dijangka menentang gandingan No. 9 dunia, Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum dari Indonesia di pusingan pertama.

Jika berjaya menewaskan Rachel-Febi dan melepasi pusingan kedua, Pearly-Thinaah yang mempamerkan prestasi baik dalam acara berpasukan dijangka berjumpa gandingan tuan rumah, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto yang menghuni ranking No. 3 dunia di suku akhir.

Untuk beregu remaja negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan yang melakukan penampilan sulung pada Sukan Asia akan membuka aksi mereka menentang pasangan No. 12 dunia, Hsu Yin-Hui-Lin Jhih Yun dari Taiwan di pusingan awal.

Untuk acara beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang kini kembali mendaki ranking No. 10 dunia akan bertemu wakil Taiwan, Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang, manakala, pasangan pecah ganding, Chen Tang Jie-Cheng Su Yin menentang pasangan kurang ternama, Al-Amin Jumar-Urmi Akter dari Bangladesh.

Dalam pada itu, bagi sektor perseorangan lelaki, Leong Jun Hao yang mendapat bye di peringkat 64 terbaik dan dijangka tidak bermasalah melepasi halangan pusingan kedua, bakal menentang sama ada wakil tuan rumah, Kenta Nishimoto atau Alwi Farhan dari Indonesia pada 16 terbaik.

Justin Hoh pula akan membuka aksinya menentang Panitchaphon Teeraratsakul dari Thailand di pusingan pertama dan jika melepasi halangan itu serta di pusingan kedua, pemain ke-48 dunia itu mungkin berdepan sama ada Loh Kean Yew dari Singapura atau Lakshya Sen dari India.

Untuk perseorangan wanita, pemain ke-28 dunia, K. Letshanaa akan bertemu wakil Taiwan, Chiu Pin Chian yang menghuni ranking No. 17 dunia, manakala, Wong Ling Ching yang mendapat bye di pusingan pertama akan memulakan aksinya di peringkat 32 terbaik menentang sama ada Unnati Hooda dari India atau Yu Mi Song dari Korea Utara. – UTUSAN

The post Ujian getir menanti Aaron-Kai Wun, Sze Fei Izzuddin appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved