
SKUAD sepak takraw negara membara untuk menamatkan kemarau pingat emas selama 36 tahun selepas mengesahkan tiket ke separuh akhir dengan menundukkan India 3-0 pada aksi Kumpulan B di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.
Kemenangan bersih di Nagoya City Mizuho Arena itu membolehkan skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun muncul juara Kumpulan B dengan rekod bersih tanpa kalah, sekali gus dijadualkan berdepan naib juara Kumpulan A sama ada Korea Selatan atau Indonesia esok.
Pada perlawanan berdepan India, regu pertama negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd
Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi dipaksa bermandi peluh sebelum berjaya menyumbang mata sulung menewaskan trio India, Malemnganba Singh Sorokhaibam, Arun dan Akash Yumnam 15-13, 11-15, 15-6.
Kelegaan kem negara diteruskan oleh regu emas kedua negara,Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam apabila tampil dominan untuk menundukkan pencabar mereka secara straight set 15-9, 15-12.
Kemenangan penuh bergaya tersebut dimuktamadkan oleh regu ketiga menerusi Zarif Marican, Amirul Zazwan Amir dan Hafizul Hayazi Adnan yang tidak berdepan masalah menewaskan trio terakhir India 15-11, 15-5.
Ketua jurulatih kebangsaan, Ahmad Jais Baharun gembira dengan kemenangan tersebut, namun enggan anak-anak buahnya terlalu dibuai kejayaan awal memandangkan ujian sebenar bakal bermula di pusingan kalah mati.
“Alhamdulillah atas kejayaan 3-0 ke atas India hari ini. Secara keseluruhannya, prestasi pemain berada pada tahap yang baik, namun masih ada ruang yang perlu diperbaiki terutamanya set kedua regu pertama kita yang dilihat agak leka dan hilang tumpuan.
“Saya menuntut semua pemain memberikan fokus 100 peratus kerana hanya kemenangan di separuh akhir yang mampu menjamin kemaraan kita ke pentas perebutan pingat emas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
The post Sukan Asia: Misi skuad takraw buru emas terus menyala appeared first on Kosmo Online.






