Sukan Asia: Peluang ke Olimpik terbuka luas

20 Sep 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Asia: Peluang ke Olimpik terbuka luas

SKUAD skuasy negara enggan melepaskan ‘peluang keemasan’ menyambar tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) lebih awal menerusi buruan pingat emas pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Langkah itu penting bagi mengelak kem negara terpaksa mengharungi laluan berliku menerusi kuota terhad ranking dunia yang hanya memperuntukkan lapan slot terbaik menjelang tarikh tutup kelayakan pada Mei 2028.

Pengurus pasukan skuasy negara, Sharon Wee berkata, pertaruhan di temasya berkenaan amat besar susulan pengenalan slot terus ke temasya terbesar dunia itu buat julung kalinya bagi pemenang pingat emas acara individu.

Justeru, beliau melihat dua tonggak utama negara, S. Sivasangari dan Ng Eain Yow kini berada di posisi terbaik untuk merealisasikan impian berkenaan berdasarkan reputasi mereka selaku pilihan utama serta rekod pertemuan semasa menentang pencabar serantau.

“Sebagai pilihan utama, kita melihat prospek memenangi pingat emas amat cerah. Mengikut rekod pertemuan Sivasangari dengan pencabar seperti Satomi Kaido (Jepun) atau Eain Yow menentang Abhay Singh (India), kelebihan jelas memihak kepada pemain kita.

“Slot automatik ini yang mahu kita rebut secepat mungkin kerana tiada siapa yang mahu melepaskan peluang layak awal ke Olimpik. Jika kita menunggu sistem ranking dunia nanti, laluannya lebih mencabar kerana hanya lapan pemain terbaik dunia layak daripada keseluruhan 16 undian, selain had maksimum dua pemain bagi setiap negara,” katanya.

Mengulas mengenai faktor tekanan memburu tiket bersejarah itu, Sharon yang juga bekas pemain kebangsaan menegaskan bahawa perkara berkenaan perlu dihadapi secara positif oleh barisan pemain elit negara.

“Sudah pasti ada tekanan, tetapi sebagai pemain bertaraf dunia, mereka perlu bijak menanganinya. Tekanan ini sebenarnya akan membuatkan pemain sentiasa berwaspada dalam setiap rali dan mata untuk memastikan kemenangan.

“Dari segi mental dan emosi, saya percaya pemain kita sudah bersedia. Tugas saya menyuntik motivasi dan keyakinan agar mereka terus memburu emas, khususnya dalam acara individu yang menawarkan tiket ke LA28,” jelasnya.

Beliau mengenal pasti Hong Kong dan India sebagai pencabar utama yang berpotensi menggugat penguasaan skuad wanita negara di temasya berkenaan.

The post Sukan Asia: Peluang ke Olimpik terbuka luas appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved