
BIARPUN terpaksa berpuas hati dengan pingat perak Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Brendon Carolan melihat peningkatan ketara anak buahnya sebagai asas penting menjelang kempen kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Carolan mengakui kekalahan 1-5 kepada India pada final cukup mengecewakan, terutama apabila Malaysia gagal mempamerkan aksi terbaik, namun kempen kali ini menunjukkan peningkatan yang dilakukan dalam tempoh tiga bulan terakhir.
“Sudah tentu saya kecewa untuk pemain kerana mereka bekerja keras. Hakikat bahawa kami kecewa kerana tidak bermain sebaik yang sepatutnya pada final dan kecewa dengan pingat perak menunjukkan tahap kami sekarang serta sejauh mana kami sudah berkembang dalam tempoh tiga bulan.
“Pemain menunjukkan peningkatan yang sangat ketara dalam tempoh singkat dan kami perlu meneruskannya bagi memastikan pasukan benar-benar bersedia menghadapi aksi kelayakan,” katanya.
Carolan turut berpuas hati dengan konsistensi pasukan sepanjang temasya apabila menilai Malaysia beraksi cemerlang dalam enam daripada tujuh perlawanan, meskipun beberapa kelemahan ketika mempertahankan pukulan sudut penalti (PC) perlu segera diperbaiki.
“Saya fikir kami konsisten dan bermain dengan baik dalam semua perlawanan. Kami menjaringkan gol dan bertahan dengan baik, tetapi beberapa kelemahan ketika mempertahankan pukulan sudut penalti dalam beberapa perlawanan benar-benar menghukum kami.
“Hari ini kami tidak berada pada tahap yang diperlukan, tetapi dalam enam daripada tujuh perlawanan, kami beraksi dengan sangat baik. Saya sangat bangga dengan pemain dan kami sudah membina asas untuk terus meningkat selepas ini,” katanya.
Kegagalan meraih emas menyaksikan Malaysia terlepas tiket automatik ke Olimpik Los Angeles 2028, namun Carolan percaya asas yang dibina sepanjang tiga bulan terakhir perlu diteruskan dengan memperbaiki beberapa kelemahan sebelum Speedy Tigers menghadapi kempen kelayakan.
The post Sukan Asia: Speedy Tigers pamer peningkatan appeared first on Kosmo Online.






