
SEPERTI dijangka, skuad sepak takraw negara terus cemerlang walaupun terpaksa bermandi pelu sebelum melangkah ke final acara regu Sukan Asia 2026 selepas menewaskan Filipina 2-1 di Gimnasium Muzuho Park, Nagoya semalam.
Pada awalnya, skuad negara turun dengan strategi membariskan pasukan yang sama ketika menewaskan Myanmar 2-0 dalam peringkat Kumpulan B dengan Muhammad Afifuddin Mohd Razali selaku perejam, Aidil Aiman Azwawi (feeder) dan Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong).
Namun, skuad negara bermula goyah apabila ketinggalan pada awal set pertama sebelum barisan kejurulatihan membuat rombakan dengan memasukkan Mohamad Azlan Alias dan Mohammad Syahir Rosdi.
Keputusan tersebut dilihat sudah terlewat apabila Filipina masih mampu mencipta kejutan selepas melakar kemenangan 15-10 pada set pertama.
Skuad negara enggan mengalah dan mula memperkemaskan permainan pada set kedua untuk kembali mengikat kedudukan selepas menang 15-11 apabila Azlan dan Syahir Rosdi berjaya mengubah rentak permainan.
Langkah Malaysia semakin bertenaga apabila berjaya menang pada set penentuan dengan meraih keputusan 15-7 sekali gus bakal bertemu dengan seteru tradisi, Thailand di venue sama, hari ini.
Thailand selaku juara bertahan tidak mempunyai masalah ke final selepas menewaskan Vietnam 2-0.
Perlawanan tersebut dijangka hangat apabila skuad regu Gajah Perang dijangka mahu membalas dendam susulan kekalahan kepada Malaysia pada acara regu berpasukan pada aksi final, Jumaat lepas.
Skuad regu negara pula tekad untuk melunaskan sasaran Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menyumbangkan dua kilauan pingat emas pada temasya terbesar benua Asia kali ini.
The post Sukan Asia: Selangkah rangkul emas kedua appeared first on Kosmo Online.






