
PETALING JAYA – Hasrat skuad sepak takraw negara untuk menghadiahkan pingat emas ketujuh buat Malaysia tidak kesampaian selepas terpaksa berpuas hati dengan perak acara regu Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Malaysia memulakan aksi final menentang seteru tradisi Thailand dengan mempertaruhkan Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Aidil Aiman Azwawi sebelum melakukan pertukaran dengan memasukkan Muhammad Zulkifli Abd Razak serta Muhammad Afifuddin Razali dalam usaha mengubah rentak permainan.
Bagaimanapun, segala percaturan dilakukan masih belum mampu menyekat Thailand yang tampil lebih kemas apabila Malaysia tewas set pertama 9-15.
Syahir dan Azlan kembali diberikan kepercayaan untuk mengakhiri perlawanan, namun skuad negara sekali lagi akur 8-15 pada set kedua.
Meskipun barisan negara sudah memberikan segala-galanya di gelanggang, Thailand lebih efektif untuk melengkapkan kemenangan straight set, sekali gus membalas kekalahan kepada Malaysia pada final acara regu berpasukan sebelum ini.
Kekalahan itu menyebabkan kem sepak takraw negara gagal melengkapkan sasaran dua emas, namun tetap menutup saingan dengan pencapaian lebih baik menerusi satu emas dan satu perak berbanding dua perak pada edisi Hangzhou 2022.
Buat kontinjen negara, keputusan tersebut menghadirkan pingat perak keempat Malaysia di Aichi-Nagoya, namun impian untuk menambah emas selepas mencapai sasaran enam pingat masih terbuka menerusi beberapa acara yang belum menamatkan saingan. KOSMO! ONLINE
The post Sukan Asia: Thailand nafikan emas kedua takraw appeared first on Kosmo Online.






