Sukan Asia: Sivasangari lengkapkan emas keenam Malaysia

27 Sep 2026 • 4:44 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Asia: Sivasangari lengkapkan emas keenam Malaysia

PETALING JAYA – Bintang skuasy negara, S. Sivasangari melengkapkan sasaran enam pingat emas kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menjuarai acara perseorangan wanita, sebentar tadi.

Pemain No. 5 dunia itu terlalu unggul buat wakil India, Anahat Singh apabila hanya memerlukan 17 minit untuk mencatat kemenangan straight set 11-4, 11-4, 11-7 pada aksi final.

Kemenangan tersebut menyaksikan Sivasangari, 27, berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Asia Hangzhou 2022, sekali gus menepati ramalan selaku pilihan utama acara perseorangan wanita.

Lebih manis, kejayaan menaiki podium tertinggi itu turut menghadiahkan Sivasangari tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, mengiringi Ng Eain Yow yang terlebih dahulu menjuarai perseorangan lelaki.

Sivasangari mara ke final selepas menewaskan pemain No. 21 dunia dari Hong Kong, Chan Sin Yuk 11-6, 11-8, 11-7 dalam tempoh 19 minit pada separuh akhir semalam.

Anahat yang menghuni ranking No. 17 dunia pula sebelum itu mencipta kejutan dengan menyingkirkan pemain No. 6 dunia dari Jepun, Satomi Watanabe dalam pertarungan lima set, namun gagal mengulangi rentak tersebut apabila Sivasangari menguasai final untuk memastikan emas keenam Malaysia. KOSMO! ONLINE

The post Sukan Asia: Sivasangari lengkapkan emas keenam Malaysia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved