
PETALING JAYA – Skuad hoki lelaki negara meneruskan permulaan sempurna pada Sukan Asia Aichi-Nagoya apabila membelasah Oman 7-0 dalam aksi kedua Kumpulan B sebentar tadi, sekali gus mencatat kemenangan kedua berturut-turut tanpa bolos.
Lebih meyakinkan, Speedy Tigers sudah meledak 14 gol selepas dua perlawanan setelah turut menewaskan Uzbekistan dengan keputusan sama 7-0 pada aksi pembukaan, namun ketua jurulatih, Brendon Carolan menganggap kempen masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan.
Malaysia hanya memerlukan tiga minit untuk membuka jaringan menerusi gol padang Faizal Saari sebelum Nik Aiman Nik Rozemi menggandakan kelebihan hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-17.
Azrai Aizad Abu Kamal kemudian meledak gol padang pada minit ke-24 sebelum Shello Silverius menyempurnakan strok penalti tepat pada minit ke-30 untuk membolehkan Speedy Tigers membawa kelebihan selesa 4-0.
“Saingan masih di peringkat awal. Saya fikir persembahan ini lebih baik berbanding perlawanan pertama. Sudah tentu jaringan sangat penting dan pemain beraksi dengan baik serta mengawal bola dengan kemas.
“Saya gembira kerana hari ini lebih baik, tetapi sudah tentu kami masih perlu meningkatkan prestasi menjelang dua perlawanan besar selepas ini,” kata Carolan selepas perlawanan.
Malaysia tidak memperlahankan rentak selepas rehat apabila Faizal mencetak gol keduanya menerusi jaringan padang pada minit ke-43, sebelum Akhimullah Anuar Esook dan Azrai masing-masing menambah satu lagi gol pada minit ke-57 untuk melengkapkan kemenangan 7-0.
Meskipun dua kemenangan besar memberikan permulaan ideal, Carolan enggan anak buahnya terlalu jauh memikirkan pencabar lain dengan tumpuan kini beralih sepenuhnya kepada aksi ketiga menentang Thailand.
“Kami akan melakukan persiapan untuk menghadapi Thailand. Kami menghormati mereka dan fokus kami adalah kepada Thailand terlebih dahulu sebelum memikirkan pasukan lain,” katanya. KOSMO! ONLINE
The post Sukan Asia: Speedy Tigers benam Oman 7-0 appeared first on Kosmo Online.






