MALAYSIA mara ke final hoki lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi separuh akhir di Gifu sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Speedy Tigers hanya selangkah lagi untuk mencipta sejarah dengan memburu pingat emas pertama negara dalam acara hoki lelaki di pentas Sukan Asia.
Dalam aksi di Stadium Kawasaki Juko itu, skuad negara membuka tirai jaringan pada minit ke-40 menerusi pukulan sudut penalti (PC) Azrai Aizad Abu Kamal.
Korea Selatan bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi jaringan padang (FG) Lee Gangsan pada minit ke-42.
Namun, Malaysia kembali di depan pada minit ke-45 apabila Azrai Aizad menyempurnakan pukulan stroke penalti (PS) untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Keputusan itu kekal sehingga tamat permainan untuk mengesahkan kemaraan Speedy Tigers ke final yang dijadualkan Sabtu ini.
Malaysia akan berdepan India dalam perlawanan akhir dengan peluang untuk menamatkan penantian dan melakar sejarah meraih pingat emas pertama hoki lelaki negara di Sukan Asia.



