Sukan Asia: Speedy Tigers mara ke final, rebut pingat emas

1 Oct 2026 • 7:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sukan Asia: Speedy Tigers mara ke final, rebut pingat emas

PETALING JAYA: Skuad hoki lelaki negara kini hanya selangkah untuk merealisasikan impian beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sebentar tadi.

Kemenangan berharga itu menyaksikan Speedy Tigers melangkah ke final dan semakin hampir untuk merangkul pingat emas yang turut menawarkan tiket automatik ke temasya Olimpik.

Anak buah Brendon Carolan kini bakal berdepan India dalam perlawanan penentuan pingat emas selepas gergasi Asia itu menewaskan musuh tradisi, Pakistan 4-3 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Pada aksi itu, selepas melalui separuh masa pertama tanpa jaringan, Malaysia akhirnya memecahkan kebuntuan menerusi pukulan sudut penalti, Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-40.

Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan dua minit apabila Korea Selatan menyamakan kedudukan menerusi gol padang Lee Gangsan pada minit ke-42.

Malaysia bagaimanapun kembali di hadapan apabila Azrai sekali lagi tampil sebagai wira pasukan menerusi jaringan penalti strok pada minit ke-45.

Gol kedua Azrai itu menyuntik semangat baharu buat Speedy Tigers yang kemudian bertahan dengan penuh disiplin untuk mengekalkan kelebihan sehingga wisel penamat.

Kemenangan tersebut meneruskan kempen cemerlang Malaysia di Aichi-Nagoya selepas mempamerkan aksi meyakinkan sejak saingan peringkat kumpulan.

Skuad negara kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk menamatkan penantian panjang memburu gelaran juara Asia dan dalam masa sama mengesahkan tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Aksi final menentang India dijangka menjadi ujian terbesar buat Speedy Tigers, namun kemenangan ke atas Korea Selatan membuktikan Malaysia memiliki kemampuan untuk bergelar pasukan terbaik Asia.

Kini, hanya India memisahkan Speedy Tigers daripada pingat emas Sukan Asia dan impian untuk kembali beraksi di pentas Olimpik.-UTUSAN

The post Sukan Asia: Speedy Tigers mara ke final, rebut pingat emas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved