Sukan Asia: Speedy Tigers perlu ‘jinakkan’ emosi sendiri

1 Oct 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Asia: Speedy Tigers perlu ‘jinakkan’ emosi sendiri

BUKAN sekadar ketajaman di depan gawang, sebaliknya kemampuan mengawal emosi bakal menjadi antara kunci utama Speedy Tigers apabila turun menentang Korea Selatan dalam separuh akhir hoki lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, petang ini.

Ketua jurulatih negara, Brandon Carolan mahu anak buahnya memasuki padang dalam keadaan tenang dan bersedia secara fizikal kerana tekanan aksi kalah mati pastinya berbeza berbanding lima perlawanan yang sudah ditempuhi di peringkat kumpulan.

“Perlawanan kalah mati adalah mengenai bagaimana kita menguruskan emosi serta memastikan pemain bersedia dari segi fizikal, tenang dan bersedia untuk memberikan persembahan,” katanya.

Atas kertas, Malaysia yang menghuni ranking ke-14 dunia memiliki kelebihan berbanding Korea Selatan di kedudukan ke-19, selain membawa momentum cukup meyakinkan selepas muncul juara Kumpulan B dengan rekod kemenangan bersih.

Sepanjang lima aksi peringkat kumpulan, Speedy Tigers meledak 34 gol dan hanya dibolosi empat kali dengan antara ujian paling getir hadir ketika bangkit daripada ketinggalan sebanyak tiga kali sebelum menundukkan Pakistan 5-4.

Prestasi tersebut memberi kepuasan kepada Carolan, lebih-lebih lagi selepas barisan negara berjaya melepasi beberapa cabaran yang sebelum ini pernah memberi kesan kepada pemain dari sudut mental.

“Saya gembira untuk pemain. Ada beberapa perlawanan penting dalam tempoh lima atau enam tahun lalu yang memberi kesan kepada mereka apabila kita mengalami beberapa keputusan besar.

“Jadi, bagus dari sudut mental apabila kali ini kita dapat turun, menghasilkan persembahan yang baik dan menyelesaikan tugas,” katanya.

Bagaimanapun, reputasi Korea tidak boleh dipandang sebelah mata apabila mereka memiliki sejarah cukup kuat di Sukan Asia dengan empat kali meraih emas masing-masing pada edisi 1986, 1994, 2002 dan 2006.

Speedy Tigers akan berdepan Korea Selatan dalam separuh akhir kedua di Stadium Gifu Prefectural Green pada pukul 6 petang ini, manakala juara bertahan, India dijadual bertemu seteru tradisi, Pakistan dalam satu lagi aksi kelompok empat terbaik.

 

The post Sukan Asia: Speedy Tigers perlu ‘jinakkan’ emosi sendiri appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved