
BINTANG lompat jauh negara, Datuk Abdul Latif Romly akhirnya melengkapkan kariernya dengan menakluk Sukan Komanwel 2026 sebagai pentas terakhir untuk menyempurnakan kutipan pingat emas.
Dalam cuaca sejuk dan hujan yang menyelubungi venue pertandingan, atlet berusia 29 tahun itu tenang mempamerkan aksi bertaraf dunia apabila mengungguli acara lompat jauh T20 menerusi lompatan sejauh 7.17 meter (m) sekali gus menyempurnakan sasaran lima emas kontinjen Malaysia di bumi Scotland.
Emas bersejarah itu melengkapkan legasi luar biasa atlet kelahiran Perlis yang sebelum ini sudah bergelar juara Sukan Paralimpik, Kejohanan Dunia, Sukan Para Asia dan Sukan Para ASEAN, sekali gus menjadikan pentas Komanwel pelengkap emas yang berada dalam koleksi.
“Pertama sekali, syukur Alhamdulillah dan saya sangat berpuas hati dengan lompatan hari ini (semalam). Saya nak ucapkan terima kasih kepada keluarga, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang banyak membantu serta mendorong saya ke arah yang terbaik,” katanya.
Latif mengetepikan cabaran atlet Kanada, Noah Vucsics yang membawa pulang pingat perak dengan lompatan 6.66m, manakala seorang lagi wakil negara, Eljoe Gotuoh melengkapkan podium menerusi pingat gangsa selepas mencatat 6.51m.
Menurut juara dunia lima kali itu, kejayaan berkenaan cukup istimewa kerana ia merupakan pingat emas pertamanya di pentas Sukan Komanwel.
“Ini adalah pingat emas pertama saya di Sukan Komanwel,” katanya.
Terdahulu, empat lagi emas negara disumbangkan skuad angkat berat menerusi Mohamad Aniq Kasdan (60kg), Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg) dan Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg).
The post Sukan Komanwel: Karier Latif sempurna di Glasgow appeared first on Kosmo Digital.






