Sukan Para Asia 2026: Abdul Latif pertahan emas lompat jauh kali keempat berturut-turut

20 Oct 2026 • 9:08 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sukan Para Asia 2026: Abdul Latif pertahan emas lompat jauh kali keempat berturut-turut

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Jaguh olahraga para negara Datuk Abdul Latif Romly meneruskan penguasaan dalam acara lompat jauh T20 lelaki apabila mempertahankan pingat emas buat kali keempat berturut-turut pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Pada aksi di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium, Abdul Latif mencatat lompatan terbaik 7.39 meter (m) untuk mengesahkan kejuaraan yang dimenanginya sejak edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Pingat perak menjadi milik atlet Arab Saudi Hassan Dawshi menerusi lompatan 7.03m, manakala wakil tuan rumah Kanta Kokubo meraih gangsa dengan catatan 6.98m.

Abdul Latif, pemegang rekod dunia dengan catatan 7.67m, sebelum ini turut meraih emas pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia dan 2022 di Hangzhou, China.

Dua lagi wakil negara, Eljoe Gotuoh menamatkan saingan di tempat keempat dengan lompatan 6.91m, manakala Nik Mohamad Rahmat Mohd Zahari menduduki tempat ketujuh menerusi catatan 6.42m.

Kejayaan Abdul Latif turut menyumbang pingat emas ketiga kontinjen negara pada temasya kali ini, selepas jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin mengungguli kategori 72 kilogram lelaki di Nagoya City Trade & Industry Center, hari ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved