
Elemen positif yang ditampilkan di perkampungan atlet Sukan Para Asia Aichi-Nagoya di Jepun wajar dijadikan contoh oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam persiapan menjelang Sukan SEA 2027.
Ketua Setiausaha KBS, Datuk Rahimi Ismail, berkata pengalaman di Jepun memberikan gambaran jelas mengenai kepentingan pengurusan fasiliti yang sistematik, kapasiti penginapan yang optimum serta pergerakan atlet yang lancar dengan mengutamakan keselamatan dan keselesaan.
Menurutnya, aspek disiplin, kesopanan dan ketepatan masa turut menjadi nilai penting yang boleh diterapkan dalam kalangan atlet serta pegawai kontinjen negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa kemudahan pemakanan di perkampungan sukan mendapat maklum balas positif daripada atlet yang ditemuinya.
“Soal pemakanan ini cukup bagus dan keperluan atlet cukup lengkap. Selepas bertemu atlet semalam, mereka cukup gembira daripada sudut pemakanan untuk mereka,” katanya.
KBS berharap pengalaman tersebut dapat membantu meningkatkan standard penganjuran temasya sukan di Malaysia, sekali gus memperkukuh ekosistem sukan negara menjelang Sukan SEA 2027.

