Sukan Para Asia: Latif akui masih terkilan

22 Oct 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Para Asia: Latif akui masih terkilan

JAGUH olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly mengakui sedikit terkilan kerana tidak dapat memenuhi impian untuk memperbaharui rekod dunia ketika memenangi pingat emas acara lompat jauh T20 pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.

Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Mizuho Park, Nagoya kelmarin, atlet berusia 29 tahun itu memastikan pingat emas menjadi miliknya selepas melakukan lompatan terbaik 7.39 meter (m).

Abdul Latif berkata, dia berpuas hati dengan keputusan tersebut, namun mengakui agak terkilan kerana tidak mampu untuk meleburkan rekod dunia 7.67m miliknya sendiri yang dilakukan pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang.

“Pencapaian dapat pingat emas di sini (Nagoya) memang berpuas hati tetapi untuk keputusan dan jarak, kurang berpuas hati sedikit kerana sasaran saya adalah untuk cuba memecahkan rekod dunia.

“Mungkin (rezeki) itu bukan di sini dan akan cuba lagi tahun depan. Selepas ini, saya akan ada kejohanan dunia selain cuba untuk melayakkan diri ke temasya Sukan SEA Malaysia tahun depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengiringi Latif di podium adalah atlet Arab Saudi, Hassan Dawshi yang melakukan lompatan dengan jarak 7.03m bagi memenangi pingat perak manakala gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Kanta Kokubo.

Sebagai rekod, ia merupakan pingat emas Para Asia keempat berturut-turut buat Abdul Latif memandangkan sebelum ini dia turut melakukannya pada edisi Incheon 2014, Jakarta-Palembang 2018 dan Hangzhou 2022.

Sementara itu, atlet kelahiran Perlis itu turut berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kejayaan dia dan semua atlet di Nagoya selain mahu berehat sebaik sahaja Sukan Asia berakhir.

“Syukur Alhamdulillah kerana dapat mempertahankan pingat emas buat kali keempat. Terima kasih kepada semua rakyat yang mendokan saya dan atlet negara. Berakhir sahaja Para Asia ini, saya mungkin berehat dua atau tiga minggu,” ujar Abdul Latif.

The post Sukan Para Asia: Latif akui masih terkilan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved