Sukan SEA 2027: Portal rasmi dilancarkan, Taufiq jamin platform mesra pengguna, selamat

10 Nov 2026 • 12:00 AM MYT
Stadium Astro
Stadium Astro

The latest sports results, news, match highlights, schedules and more

Sukan SEA 2027: Portal rasmi dilancarkan, Taufiq jamin platform mesra pengguna, selamat

Malaysia terus memperkukuh persiapan sebagai tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Para ASEAN ke-14 tahun depan menerusi pelancaran portal rasmi temasya yang dijanjikan mesra pengguna, mudah diakses serta dilengkapi ciri keselamatan digital.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pembangunan platform berkenaan mengambil kira keperluan masyarakat untuk mendapatkan maklumat secara pantas dan menyeluruh, seiring perkembangan teknologi masa kini.

Menurutnya, portal itu akan dibangunkan secara berperingkat dan dikemas kini dengan pelbagai maklumat penting termasuk jadual pertandingan, lokasi venue, penyertaan kontinjen, keputusan rasmi serta perkembangan terkini temasya.

Jelas Taufiq, kemudahan itu amat penting bagi memastikan orang ramai dapat mengikuti perjalanan temasya yang bakal berlangsung merentasi empat kluster utama di Malaysia, iaitu Sarawak, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

Dalam masa sama, aspek keselamatan siber turut diberi perhatian bagi memastikan portal berkenaan mematuhi piawaian ditetapkan serta bebas daripada ancaman penggodaman.

“Berkaitan keselamatan sekuriti, kita ingin memastikan laman web ini yang dibangunkan mematuhi piawaian.

“Kita ingin memastikan laman web ini mesra pengguna dan bebas godaman,” katanya.

Taufiq turut memaklumkan terdapat beberapa perubahan kecil membabitkan lokasi pertandingan, termasuk acara berbasikal endurance yang akan berlangsung di Terengganu, manakala karate pula bakal dipertandingkan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC).

Dalam perkembangan berasingan, Taufiq memaklumkan satu pengumuman khas berkaitan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dijadual dibuat pada Rabu.

Pengumuman itu dijangka memberi penjelasan serta penyelesaian terhadap isu berbangkit berhubung kesamarataan agihan ganjaran bagi atlet acara berpasukan yang menjadi perdebatan sejak kebelakangan ini.

Pelancaran portal rasmi berkenaan menjadi antara langkah penting dalam memastikan aspek penyampaian maklumat dan komunikasi awam berjalan lancar menjelang penganjuran temasya dwitahunan itu di Malaysia pada 2027.
 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved