IPOH - Pelaksanaan projek pembinaan kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) oleh BYD di Tanjung Malim telah dihentikan dengan tapak sedia ada berada dalam keadaan tidak aktif.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, situasi tersebut berpunca daripada ketidakmampuan pihak BYD untuk memenuhi syarat baharu yang diperkenalkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurutnya, MITI telah mengemukakan dasar perlindungan industri iaitu mewajibkan kenderaan yang dipasang secara tempatan oleh BYD mematuhi kuota 80 peratus untuk eksport dan 20 peratus bagi pasaran domestik.
"Selain itu, pihak berkuasa turut menetapkan keperluan awal sebanyak 40 peratus penggunaan komponen tempatan bagi memastikan kelangsungan industri automotif tempatan.
"Ketidakmampuan BYD untuk menerima syarat tersebut telah menimbulkan ketidakpastian terhadap pelan pembinaan kilang pemasangan (CKD) di Tanjung Malim," katanya dalam kenyataan kepada media di sini pada Khamis.
Perkembangan projek oleh BYD itu turut dibangkitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sedang berlangsung sejak Selasa lalu susulan kebimbangan terhadap masa depan pelaburan berkenaan.
Sze Yee berkata, projek tersebut sebelum ini menunjukkan perkembangan positif apabila lokasi strategik berhampiran Lebuhraya KL–Ipoh di kawasan Tanjung Malim dikenal pasti selepas penilaian dibuat oleh pihak pelabur.
Katanya, melalui pelaksanaan laluan pantas oleh kerajaan negeri bersama kerjasama pelbagai agensi termasuk kerajaan Persekutuan, semua kelulusan berjaya diperoleh dalam tempoh hanya satu bulan.
“Malah kerja pembersihan tapak ladang kelapa sawit dimulakan dalam tempoh enam hari selepas kelulusan, mencerminkan kecekapan tinggi pentadbiran negeri,” katanya.
Beliau menambah, sejak projek tersebut dimulakan pada tahun 2024, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka dan kolaboratif dengan menjemput MITI untuk terlibat secara langsung dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan.
Namun katanya, sepanjang tempoh kira-kira 10 bulan penyelarasan, tiada sebarang bantahan atau maklum balas substantif dikemukakan oleh pihak kementerian, termasuk berkaitan perubahan dasar utama.
“Adalah amat dikesali apabila selepas permohonan rasmi dikemukakan oleh pihak pelabur, satu kerangka dasar baharu diperkenalkan secara tiba-tiba, tanpa ketelusan, komunikasi institusi yang jelas, serta pada saat kritikal, sekali gus menjejaskan kepercayaan dan kesinambungan perancangan sedia ada,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa situasi ini telah memberi impak ketara terhadap kelangsungan projek, menjejaskan keyakinan pelabur serta berpotensi memberi kesan jangka panjang terhadap ekosistem pelaburan negara.
Dalam hal tersebut jelasnya, kerajaan negeri mengekalkan pendirian tegas bahawa sebarang bentuk pelaburan dan pengeluaran BYD di Malaysia hendaklah terus dilaksanakan di Perak selaras dengan kesepakatan dan komitmen pembangunan sedia ada.
“Kerajaan negeri akan terus mengadakan rundingan secara konstruktif, namun pihak berkaitan perlu memberikan penjelasan yang telus dan menyeluruh bagi memastikan kestabilan dasar serta memelihara reputasi pelaburan negara,” katanya.



