
KUALA LUMPUR – Atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan menggalas misi cukup besar menjelang akhir tahun ini apabila meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod kebangsaan 19.12 meter (m) miliknya sendiri.
Memandangkan ketika ini dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali kiri yang dialami, atlet kelahiran Sarawak itu menjadikan temasya Sukan Asia 2026 dan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 sebagai masa terbaik memperbaharui rekod.
Jonah yang baru sahaja memenangi pingat emas dalam acara lontar peluru Sukan IPT (Sukipt) 2026 berkata, Sukan Asia dan AUG merupakan masa terbaik kerana bakal bertemu pencabar-pencabar lebih baik.
“Memandangkan kondisi saya yang masih belum pulih daripada kecederaan, saya tidak letak harapan tinggi. Tahun ini saya banyak buat lontaran dalam jarak 18m, jadi ia satu perkara yang baik.
“Saya mahu buat (pecah rekod kebangsaan) di Sukan Asia dan AUG kerana di sana nanti ada pencabar yang lebih baik. Cabaran lebih sukar dan suasananya juga berbeza berbanding Sukipt,” katanya ketika ditemui selepas menamatkan saingan di Pusat Sukan Universiti Malaya (UM) hari ini.
Sebagai rekod, atlet berusia 23 tahun itu sudah dua kali memecahkan rekod kebangsaan pada tahun ini apabila melakukan lontaran 18.81m pada Kejohanan Balingan Asia di Mokpo, Korea Selatan Mei lalu serta 19.12m pada Kejohanan Olahraga XXXV Qosanov Memorial di Kazakhstan Julai lepas.
Pada aksi final lontar peluru lelaki Sukipt 2026 sebentar tadi, Jonah yang mewakili UM memastikan pingat emas menjadi miliknya menerusi lontaran rekod temasya 18.22m, memadam catatan lama 16.33m milik Adi Alifuddin Hussin.
Pingat perak menjadi milik atlet Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nathaniel Majid menerusi lontaran 14.79m manakala gangsa dimenangi Kamal Farhan A. Rahman (14.44m) dari Univesiti Putra Malaysia (UPM).
Sementara itu, biarpun tidak dapat memperbaharui rekod kebangsaan hari ini, namun Jonah tetap berpuas hati dan gembira kerana dapat bersaing dengan rakan-rakan seperjuangan pada temasya dwitahunan itu.
“Tidak ada masalah (tidak pecah rekod) kerana saya datang untuk menikmati saingan dan membawa nama UM. Saya juga datang untuk beri sokongan kepada rakan-rakan universiti, jadi ini pengalaman yang baik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Sukipt 2026: Jonah tekad lebur rekod menjelang Disember appeared first on Kosmo Digital.






