
KUCHING, 18 OGOS: Sasaran Selangor berada pada kedudukan tiga teratas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 mampu dicapai bersandar kerja keras dan corak persembahan dipamerkan atlet setakat ini.
EXCO Sukan Najwan Halimi berkata banyak acara yang mempunyai prospek emas buat kontinjen negeri akan berlangsung dalam tempoh beberapa hari sebelum temasya dwitahunan itu melabuhkan tirai.
“Ukuran sebenar tidak boleh dilihat setakat hari ini. Insya-Allah bermula esok akan ada acara seperti akuatik dan olahraga yang disasar dapat pingat emas sebagai tambahan kepada emas terkumpul setakat ini.

“Mudah-mudahan mereka dapat tingkatkan usaha untuk menambah baik prestasi sepanjang seminggu ini. Kita berfikiran positif dan optimis capai 61 emas seperti diunjurkan,” katanya hari ini.
Ditemui selepas menyaksikan acara akhir golf di Kelab Golf Sarawak di sini, beliau turut memuji kerja keras atlet dalam memburu pingat meski ada acara yang disasar terlepas emas.
“Prestasi atlet kita sangat baik tetapi ada beberapa kategori sukan yang berpotensi tinggi dapat emas berakhir dengan pingat perak. Saya hargai usaha mereka meraih seberapa banyak pingat,” katanya.
Najwan menambah layanan tuan rumah terhadap semua kontinjen amat baik dengan tiada aduan diterima khususnya membabitkan perkampungan sukan atlet.
Sebanyak 37 acara disertai Selangor dalam temasya sukan berpresij negara kali ini dengan sasaran kutipan 61 emas dan berada pada kedudukan tiga teratas.
Berdasarkan semakan di laman sesawang https://rs.sukmasarawak2024.my/medals setakat 9.20 malam, Selangor berada pada kedudukan kesembilan dengan mengumpul lima emas, perak (13) dan gangsa (tujuh).

The post SUKMA 2024: Selangor mampu capai sasaran pingat, kedudukan tiga teratas appeared first on Selangorkini.

