
SHAH ALAM – Beregu campuran Melaka, Aaron Tai-Noraqilah Maisarah Ramdan mengekalkan pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) selepas menewaskan pasangan Kelantan, Kang Khai Xing-Chan Wen Tse di perlawanan akhir Sukma Selangor 2026.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini, Aaron-Noraqilah memastikan pingat emas menjadi milik mereka menerusi kemenangan tiga set 21-18- 21-23, 21-8.
Aaron menyuarakan rasa gembira atas kejayaan mereka mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Sarawak dua tahun lalu, lebih-lebih lagi terpaksa berdepan keadaan gelanggang yang sedikit berangin.
“Saya rasa gembira kerana boleh menyumbang untuk negeri sendiri dengan memenangi pingat emas. Kami pun bermain tanpa sebarang tekanan dengan sasaran untuk mengeluarkan permainan sendiri sahaja.
“Beraksi menentang Khai Xing memang rasa tidak biasa kerana kami selalu bermain bersama sebelum ini. Kali ini dia menjadi lawan tetapi hanya anggap sebagai pertandingan untuk negeri masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Kemenangan itu juga dianggap cukup bermakna buat kedua-dua pemain tersebut memandangkan Sukma kali ini merupakan penampilan terakhir Aaron pada temasya sukan berkenaan manakala Noraqilah bakal beraksi lagi di Sukma 2028.
“Memang boleh dikatakan kemenangan hari ini adalah hadiah perpisahan terbaik buat kami kerana ini merupakan Sukma terakhir buat Aaron,” ujar Noraqilah.
Dalam perkembangan lain, pingat emas beregu lelaki menjadi milik beregu Wilayah Persekutuan, Bryan Jeremy Goonting-Low Han Chen selepas menewaskan rakan sepasukan, Damien Ling-Ethan Oh.
Sementara itu, Perak turut memastikan satu pingat emas menjadi milik mereka menerusi acara beregu wanita selepas Chong Jie Yu-Vannee Gobi menang 15-21, 22-20, 21-8 ke atas gandingan Wilayah Persekutuan, Leong Hwee Ling-Teh Xin Ying. – KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Aaron-Noraqilah pertahan emas beregu campuran appeared first on Kosmo Digital.





