SUKMA 2026: Adik-beradik Goh menang bergaya, buru emas bola tampar pantai

11 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA 2026: Adik-beradik Goh menang bergaya, buru emas bola tampar pantai

SHAH ALAM, 11 OGOS: Gandingan adik-beradik Rachael Goh Yu Jie dan Goh Yu Heng memulakan misi memburu emas buat Selangor dengan langkah kanan apabila mudah menundukkan Johor B 21-7, 21-5 dalam aksi bola tampar pantai wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Kemenangan di Gelanggang Bola Tampar MBSA itu menyaksikan pasangan Selangor A yang juga pemain kebangsaan memulakan saingan peringkat awal dengan meyakinkan.

Bagaimanapun, kedua-duanya enggan terlalu selesa dengan kemenangan berkenaan dan mahu terus memberi tumpuan kepada setiap perlawanan dalam usaha memastikan momentum positif dapat dikekalkan.

Yu Jie yang memenangi pingat perak pada SUKMA 2024 di Sarawak berkata tumpuan utama mereka ketika ini adalah memberikan persembahan terbaik tanpa terlalu memikirkan sasaran keseluruhan kejohanan.

“Saya rasakan kami perlu meletakkan fokus pada setiap perlawanan dengan memberikan persembahan terbaik dan tidak terlalu memikirkan keseluruhan kejohanan,” katanya kepada Media Selangor.

Image from: SUKMA 2026: Adik-beradik Goh menang bergaya, buru emas bola tampar pantai
Rachael Goh Yu Jie tangkas mengembalikan bola ketika membantu Selangor A mencatat kemenangan bergaya dalam saingan bola tampar pantai wanita SUKMA 2026 di Gelanggang Bola Tampar MBSA, Shah Alam pada 11 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Yu Heng, 16, yang membuat penampilan sulung di pentas SUKMA bersama kakaknya percaya mereka mempunyai peluang baik untuk menyumbang pingat emas kepada kontinjen Selangor.

“Pada pendapat saya, kami mempunyai peluang yang baik kali ini. Kami perlu memberikan 100 peratus dalam setiap perlawanan dan berharap dapat membutirkan pingat emas buat kontinjen Selangor,” katanya.

Walaupun mempunyai pengalaman beraksi di peringkat kebangsaan, pasangan itu tidak mahu memandang mudah cabaran setiap lawan, khususnya pada peringkat awal kejohanan.

“Kami teruja dapat bergandingan bersama, namun kami tidak pernah menganggapnya mudah kerana ini baru perlawanan pertama dan kami akan berikan aksi terbaik sepanjang kejohanan ini,” kata mereka.

Gandingan Selangor A itu dijadual melengkapkan saingan Kumpulan B menentang Perlis A pada Rabu (12 Ogos).

Kemenangan dalam perlawanan berkenaan akan mengesahkan tempat mereka ke separuh akhir, sekali gus meneruskan misi memburu pingat emas buat kontinjen Selangor.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved