
PETALING JAYA – Selangor membuka kempen Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan langkah kanan apabila menyapu bersih dua pingat emas bola keranjang 3×3 lelaki dan wanita di Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi 2, Klang, hari ini.
Skuad wanita terlebih dahulu merangkul pingat emas kontinjen tuan rumah dengan aksi dominan apabila membelasah Wilayah Persekutuan 21-4 dalam perlawanan akhir.
Kejayaan itu kemudian disempurnakan skuad lelaki Selangor yang turut menjadikan Wilayah Persekutuan mangsa selepas mencatat kemenangan 21-13, sekali gus memastikan kedua-dua emas 3×3 menjadi milik tuan rumah.
Sapuan berganda tersebut memberikan permulaan sempurna buat Selangor yang bukan sahaja memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, malah sekali lagi membuktikan status mereka sebagai antara kuasa utama bola keranjang di pentas Sukma.
Sementara itu, Negeri Sembilan turut membawa pulang dua pingat gangsa selepas skuad wanitanya menewaskan Johor 16-12 dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Pasukan lelaki Negeri Sembilan kemudian melengkapkan pencapaian tersebut menerusi kemenangan lebih sengit 21-19 ke atas Johor untuk memastikan kedua-dua gangsa turut menjadi milik mereka.
Kejayaan Selangor itu meneruskan penguasaan mereka selepas turut mendominasi bola keranjang pada Sukma Sarawak 2024 dengan menyapu bersih kesemua empat emas yang ditawarkan menerusi acara 5×5 serta 3×3 lelaki dan wanita.
Pada edisi berkenaan, skuad 3×3 lelaki Selangor menewaskan Johor 21-8 pada final, manakala pasukan wanita turut mengatasi lawan sama 21-11 untuk muncul juara.
Dua emas awal itu pastinya menjadi tonik buat kontinjen Selangor dalam memburu lebih banyak kejayaan selaku tuan rumah menjelang upacara pembukaan rasmi SUKMA di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 15 Ogos ini. KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Selangor sapu dua emas pertama appeared first on Kosmo Digital.






