SUKMA 2026: Selangor belasah Pulau Pinang 23-13, Brandon Wong ledak 11 gol

12 Aug 2026 • 7:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA 2026: Selangor belasah Pulau Pinang 23-13, Brandon Wong ledak 11 gol

SHAH ALAM, 12 OGOS: Selangor membuka kempen acara polo air lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan kemenangan bergaya apabila menewaskan Pulau Pinang 23-13 dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Akuatik Selangor, hari ini.

Skuad tuan rumah mempamerkan aksi bertenaga dengan menguasai permainan sejak suku pertama sebelum terus mengekalkan rentak cemerlang hingga wisel penamat untuk meraih kemenangan pertama kejohanan.

Ketua pasukan, Brandon Wong, muncul wira Selangor apabila meledak 11 gol sekali gus menjadi penjaring terbanyak perlawanan.

Brandon berkata kemenangan itu memberikan suntikan keyakinan kepada pasukan untuk mengharungi baki saingan, selain gembira dapat menghadiahkan kemenangan kepada penyokong di laman sendiri.

“Kami rasa sudah buat yang terbaik hari dan kami bermain di negeri sendiri dan sudah tentu mahu memberikan persembahan terbaik untuk semua penyokong yang hadir.

"Kami harap semua gembira dengan prestasi kami," katanya ketika ditemu bual Media Selangor.

Beliau berkata kemenangan pembukaan itu diharap menjadi pemangkin untuk Selangor mengekalkan momentum dalam perlawanan seterusnya.

“Kemenangan pertama ini sememangnya menaikkan semangat kami dan kami harap dapat membawa momentum ini ke perlawanan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Selangor, Ko Hyang Kwuaon, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hasil persiapan rapi yang dilakukan pasukan sejak sekian lama bagi menghadapi temasya SUKMA kali ini.

“Kami rasa pasukan sudah buat yang terbaik kerana kami sudah lama menjalani latihan untuk perlawanan ini.

"Saya harap kemenangan ini dapat meningkatkan semangat pemain dan membantu kami memberikan keputusan serta corak permainan yang lebih baik kepada penonton,” katanya.

Selangor bakal meneruskan saingan pusingan awal Kumpulan B dengan berdepan dengan Wilayah Persekutuan dalam aksi seterusnya di Akuatik Selangor, esok.

Akuatik Selangor yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam, kira-kira dua kilometer dari Stesen LRT Stadium Shah Alam, menjadi antara venue utama bagi acara sukan akuatik Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Orang ramai yang ingin ke lokasi berkenaan boleh mencari lokasi 'Akuatik Selangor' menerusi aplikasi Waze atau Google Maps.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved