TIDAK mahu dibebani pencapaian pada edisi lalu, skuad ragbi Terengganu tampil lebih realistik dengan meletakkan sasaran pingat gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Pengurus pasukan, Mohd Amirulmukminin Sulaiman berkata, sasaran itu dibuat selepas mengambil kira perubahan besar dalam skuad kali ini yang dibarisi sebahagian besar pemain baharu.
Katanya, biarpun sasaran ditetapkan secara sederhana, persiapan pasukan kini berada pada tahap terbaik dan pemain sudah bersedia untuk turun beraksi apabila saingan bermula 19 Ogos ini.
“Momentum pasukan ketika ini berada pada tahap terbaik dan semua pemain sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik. Kita sedar cabaran kali ini berbeza kerana sebahagian besar pemain adalah muka baharu, tetapi itu tidak bermakna kita datang sekadar melengkapkan saingan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis ringkas meraikan 26 pemain dan pegawai skuad ragbi Terengganu, di sini.
**media[3613054]**
Pada SUKMA Sarawak sebelum ini, skuad lelaki Terengganu mencuri tumpuan apabila mara ke final sebelum meraih pingat perak, manakala pasukan wanita membawa pulang gangsa.
Namun, Amirulmukminin berkata, pencapaian itu tidak seharusnya menjadi tekanan kepada barisan baharu yang akan menggalas cabaran Terengganu di Selangor kelak.
“Kalau boleh capai lebih daripada sasaran, sudah tentu itu lebih baik. Tetapi buat masa ini, gangsa adalah sasaran yang lebih realistik berdasarkan kekuatan dan komposisi pasukan.
“Paling penting pemain perlu percaya kepada kemampuan sendiri dan melaksanakan apa yang dirancang,” katanya.
Majlis ringkas berkenaan turut menjadi suntikan moral buat pasukan sebelum berangkat ke Selangor, selain menghimpunkan pemain, pengurusan dan pemegang taruh sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan skuad ragbi Terengganu.
Pada edisi kali ini, skuad lelaki Terengganu diundi dalam Kumpulan D bersama Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, manakala pasukan wanita pula berada dalam Kumpulan E bersama Sabah, Kedah dan Johor.
Temasya SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, dengan saingan bagi acara ragbi bermula pada 19 Ogos.






