
PETALING JAYA: Co-opbank Pertama (CBP) menerbitkan Sukuk Wakalah Berstruktur Bercagar sulung bernilai RM500 juta melalui syarikat tujuan khasnya, Himayah Sukuk Berhad.
Penerbitan itu dibuat di bawah Program Sukuk Wakalah Berstruktur Bercagar RM5 bilion berasaskan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar dan merupakan Sukuk Berstruktur Bercagar pertama diterbitkan oleh institusi perbankan koperasi di Malaysia.
CBP berkata, program sukuk itu mendapat penarafan AA2 daripada RAM Rating Services Berhad (RAM Ratings), mencerminkan profil kredit dan struktur program yang kukuh.
Menurutnya, penerbitan tersebut turut menerima permintaan kukuh daripada pelabur institusi yang pelbagai termasuk syarikat pengurusan aset, institusi berkaitan kerajaan (GLC), pengendali takaful dan insurans serta institusi kewangan.
Katanya, sukuk tersebut mencatat nisbah langganan sebanyak 2.97 kali, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kekuatan kewangan, daya tahan dan strategi pertumbuhan jangka panjang CBP.
Tambahnya, sukuk itu berjaya ditetapkan pada kadar keuntungan purata 4.20 peratus setahun bagi lima tempoh matang, masing-masing 4.07 peratus bagi tiga tahun, 4.16 peratus (empat tahun), 4.22 peratus (lima tahun), 4.26 peratus (enam tahun) dan 4.31 peratus (tujuh tahun).
Jelasnya, hasil penerbitan akan digunakan untuk mempelbagaikan sumber pembiayaan bank, memperkukuh pengurusan kecairan serta menyokong aktiviti pembiayaan dan inisiatif pertumbuhan masa depan bank.
Ketua Pegawai Eksekutif Co-opbank Pertama, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, kejayaan menyempurnakan penerbitan sulung Sukuk Berstruktur Bercagar itu merupakan pencapaian penting bagi Co-opbank Pertama.
Ujarnya, selain menjadi penerbitan pertama di bawah program RM5.0 bilion, ia juga merupakan Sukuk Berstruktur Bercagar pertama diterbitkan oleh institusi perbankan koperasi di Malaysia.
“Sambutan kukuh daripada pasaran mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas perniagaan, pengurusan kewangan berhemah dan hala tuju strategik kami.
“Penerbitan ini meningkatkan fleksibiliti pembiayaan kami dan mengukuhkan keupayaan untuk terus memenuhi keperluan pembiayaan anggota serta pelanggan, di samping mengekalkan kedudukan kecairan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.
CBP berkata, penerbitan itu mengukuhkan komitmen Co-opbank Pertama untuk memperkukuh strategi kepelbagaian sumber pembiayaan dan mengembangkan kehadirannya dalam pasaran modal Islam.
“Ia turut mencerminkan usaha berterusan bank untuk meneroka penyelesaian pembiayaan yang inovatif dan mampan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang serta daya tahan kewangan.
“Transaksi itu juga mengukuhkan peranan Co-opbank Pertama dalam menyumbang kepada pembangunan industri kewangan Islam Malaysia, selain mewujudkan nilai mampan kepada anggota, pelanggan dan pihak berkepentingannya,” jelasnya. – UTUSAN
The post CBP terbit Sukuk Wakalah Berstruktur Bercagar sulung bernilai RM500 juta appeared first on Utusan Malaysia.






