Sultan Brunei Stabil, Perlukan Pemantauan

LocalPolitics
28 May 2025 • 1:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sultan Hassanal Bolkiah - Gambar Xinhua Net

KUALA LUMPUR - Keadaan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dilaporkan stabil selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Jurucakap Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, baginda bagaimanpun masih masih memerlukan pemantauan oleh pasukan perubatan. 

Menurut beliau, Sultan Hassanal ketika ini ditemani permaisuri baginda, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

“Pihak perubatan telah menasihatkan agar Baginda Tuanku untuk tidak menerima sebarang pelawat buat masa ini.

“Hanya keluarga Diraja Brunei sahaja dibenarkan melawat demi memastikan proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar,” katanya. 

Jelas jurucakap tersebut, baginda terdahulu berkenan menerima Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang datang melawat bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

“Perdana Menteri turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan semoga baginda dikurniakan afiyah sesegera mungkin dan sentiasa berada dalam lindungan serta rahmat Allah SWT,” katanya. 

Anwar menerusi sidang media penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 semalam mengesahkan bahawa Sultan Hassanal ketika ini berada di IJN.

Perdana Menteri memberitahu media, baginda berasa keletihan dan mengambil keputusan untuk berehat di sana.

"Baginda berasa penat dan mahu berehat di IJN," katanya ringkas. - Getaran, 28 Mei 2025