
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, telah memperkenan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu yang telah mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Difahamkan keputusan ini dibuat setelah mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta agensi-agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan berkenaan.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi satu kenyataan berkata, langkah-langkah yang perlu secara lebih berkesan akan diambil bagi melindungi kesihatan serta kebajikan penduduk yang terjejas.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan memastikan segala tindakan yang diperlukan dilaksana dengan segera, termasuk langkah mitigasi serta penyampaian maklumat dan nasihat kesihatan kepada orang ramai,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini Abang Johari telah mengemukakan permohonan darurat jerebu di Serian kepada Anwar Ibrahim.
Ia bagaimanapun perlu dibawa ke Sultan Ibrahim memandangkan kuasa isytihar darurat jerebu di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Perkara itu dimaklukan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas kepada media.





