Sultan Muhammad V kurnia dua lembu korban

28 May 2026 • 3:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sultan Muhammad V kurnia dua lembu korban
Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan dua daripada 53 ekor lembu sempena Majlis Ibadah Korban Jama’ie anjuran Maik.

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan dua daripada 53 ekor lembu sempena Majlis Ibadah Korban Jama’ie anjuran Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Padang Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra di Panji di sini pada Khamis.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Mohd Anis Hussein berkata, daging korban berkenaan akan diagihkan kepada 1,400 ketua isi rumah (KIR) terdiri daripada golongan asnaf menerusi masjid bandar serta jajahan sekitar daerah ini.

Menurutnya, setiap KIR yang terpilih akan menerima sebanyak dua kilogram daging berserta tulang korban.

“Selain dua lembu baka Brahman yang dikurniakan Sultan Muhammad V, lembu korban lain turut dikurniakan oleh Tengku Muhammad Fakhry bersama Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Muhammad Rizam Tengku Aziz.

“49 lembu selebihnya disumbangkan bersama-sama termasuklah dari Maik, jabatan, agensi kerajaan, badan berkanun serta orang awam,” katanya.

Menurut beliau, majlis melibatkan 348 petugas yang membantu dalam melancarkan urusan termasuk pengagihan daging.

“MAIK merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bersama-sama mengimarahkan majlis ibadah korban pada tahun ini,” ujarnya.