Agong berkenan kurnia 148 lembu korban kepada rakyat Johor

27 May 2026 • 11:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Agong berkenan kurnia 148 lembu korban kepada rakyat Johor
Onn Hafiz bersama rakyat Johor yang terlibat dalam ibadah korban dianjurkan. - FOTO: Facebook Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan 148 ekor lembu sempena ibadah korban Hari Raya Aidiladha tahun ini untuk diagihkan kepada rakyat di seluruh Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kurniaan itu mencerminkan kasih sayang, keprihatinan serta kedekatan Institusi Diraja Johor yang sentiasa mengutamakan kebajikan Bangsa Johor.

Beliau turut menzahirkan kesyukuran dan merafak sembah ucapan terima kasih atas limpah kurnia serta keprihatinan Seri Paduka Baginda yang juga Sultan Johor.

"Patik dan seluruh rakyat jelata mendoakan semoga Kebawah Duli Tuanku sekeluarga sentiasa dikurniakan kesihatan, kesejahteraan serta berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Sementara itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, di peringkat daerah, Program Korban Perdana Simpang Renggam turut menyaksikan pengagihan 32 ekor lembu korban di seluruh kawasan berkenaan.

Katanya, pengagihan itu merangkumi masjid, surau, kampung serta pelbagai pihak yang memerlukan. - Bernama