Sultan Nazrin rasmi IPD Muallim

LocalPolitics
6 Oct 2026 • 12:23 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sultan Nazrin rasmi IPD Muallim

TANJUNG MALIM – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini hari ini.

Projek pembinaan kompleks IPD baharu tersebut bermula pada 27 Disember 2017 di atas tapak seluas 11.34 hektar yang menelan belanja sebanyak RM85 juta.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dalam sembah ucapannya berkata, perasmian ini menandakan suatu lagi pencapaian penting dalam usaha kerajaan memperkukuhkan prasarana keselamatan dan meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan kepolisan kepada rakyat khususnya di daerah Muallim.

“Perkembangan pesat daerah Muallim yang merangkumi Tanjung Malim, Slim River, Behrang, Trolak, dan Proton City menuntut kesiapsiagaan pasukan polis yang jauh lebih dinamik.

“Selaras dengan pengisytiharan Muallim sedekad yang lalu, kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk membangunkan kompleks IPD Muallim yang moden bagi menyokong tanggungjawab PDRM yang kian mencabar,” katanya di sini hari ini.

Katanya, projek tersebut yang dimulakan pada 27 Disember 2017 merupakan satu pelaburan kerajaan bernilai RM85 juta.

“Kompleks yang tersergam indah di atas tapak seluas 11.34 hektar ini telah siap sepenuhnya pada 30 Jun 2025.

“Ia bukan sahaja bangunan pentadbiran malah ia adalah hab operasi yang dilengkapi dengan teknologi terkini, sistem komunikasi yang efisien, dan kemudahan sokongan yang kondusif,” katanya.

Jelasnya, penyerahan projek pada 15 Oktober 2025 merupakan detik bermulanya era baharu bagi pentadbiran dan operasi keselamatan di seluruh daerah Muallim.

“Kekuatan sebenar sesebuah institusi kepolisan itu tidak terletak pada tembok bata atau peralatan canggih semata-mata.

“Sebaliknya, kekuatan sebenar bersandarkan kepada keberanian, disiplin, dan integriti setiap anggota yang berkhidmat,” katanya.

Ujarnya, pembangunan fizikal ini perlulah disusuli dengan pembangunan modal insan yang unggul.

“Warga IPD Muallim memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab, selaras dengan kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat.

“Dalam mendepani cabaran jenayah moden dan ancaman keselamatan yang semakin kompleks, integriti harus menjadi perisai utama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Sultan Nazrin rasmi IPD Muallim appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved