Sultan Pahang Cadang Tubuh Pusat Pentadbiran Islam Di Bawah Satu Bumbung

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 10:00 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Sultan Pahang Cadang Tubuh Pusat Pentadbiran Islam Di Bawah Satu Bumbung

Sultan Pahang Cadang Tubuh Pusat Pentadbiran Islam Di Bawah Satu Bumbung

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kerajaan negeri meneliti cadangan penubuhan Pusat Pentadbiran dan Perkhidmatan Islam Pahang (PPIP) sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan agensi berkaitan hal ehwal Islam di bawah satu bumbung.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang semalam, baginda bertitah langkah itu mampu memperkukuh penyelarasan antara agensi, selain memudahkan rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan berkaitan Islam dengan lebih pantas dan berkesan.

Menurut baginda, pendekatan tersebut juga selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, bersepadu dan berorientasikan rakyat.

"Sesebuah institusi diukur melalui keupayaannya menyampaikan perkhidmatan yang cekap, responsif dan berorientasikan rakyat.

"Namun, hal ehwal Islam di negeri ini masih dilaksanakan di beberapa lokasi berasingan sehingga menyukarkan rakyat mendapatkan perkhidmatan secara menyeluruh.

"Sudah tiba masanya sistem penyampaian perkhidmatan ini ditransformasikan melalui pendekatan yang lebih bersepadu dan menyeluruh," titah baginda.

Baca juga:

Baginda bertitah demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Kali Ke-199 di Kuantan pada Selasa.

Turut berangkat ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, manakala Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut hadir.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan MUIP bahawa badan itu memikul tanggungjawab besar sebagai institusi yang menerajui serta menasihati baginda dalam pentadbiran hal ehwal Islam di negeri ini.

Baginda bertitah setiap keputusan yang dibuat perlu berlandaskan maqasid syariah, dipandu dengan hikmah serta sentiasa mengutamakan kepentingan agama dan maslahah ummah.

Selain itu, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada MUIP dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) atas kejayaan melaksanakan Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dalam pengurusan masjid dengan bimbingan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Menurut baginda, inisiatif tersebut merupakan satu anjakan penting dalam memperkukuh budaya kecemerlangan organisasi, di samping meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

"Saya berharap inisiatif ini akan diperluaskan secara sistematik ke seluruh ekosistem perkhidmatan hal ehwal Islam.

"Setiap proses kerja hendaklah sentiasa dinilai, dipermudah dan ditransformasikan agar penyampaian perkhidmatan menjadi lebih cekap, responsif dan berorientasikan keperluan rakyat," titah baginda.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved