KUANTAN - Rakyat Pahang khususnya yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang menghadapi musim tengkujuh.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah,, aspek keselamatan diri dan keluarga hendaklah sentiasa menjadi keutamaan apabila berdepan keadaan cuaca tidak menentu serta risiko hujan berterusan yang boleh mengakibatkan banjir dan bencana alam lain.
"Penduduk di kawasan rendah dan berhampiran lembangan sungai supaya mengambil langkah persediaan awal, termasuk mengamankan dokumen penting, memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat serta bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa," titah menerusi kenyataan di Facebook Kesultanan Pahang di sini.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat agar tidak mengambil mudah sebarang amaran cuaca dan banjir yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), selain sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi kerajaan.
Baginda berharap seluruh agensi pengurusan bencana, pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
"Saya seru rakyat agar mengutamakan semangat kebersamaan, saling membantu dan prihatin terhadap golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak serta mereka yang memerlukan bantuan, khususnya ketika menghadapi situasi kecemasan," titah Baginda lagi.
Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan segala langkah persediaan dan tindakan awal yang dilaksanakan dapat membantu mengurangkan risiko serta kesan bencana.
Titah Baginda, ini bagi memastikan keselamatan seluruh rakyat Negeri Pahang sepanjang musim tengkujuh ini.






